Nadal mudah mara ke pusingan kedua

BRISBANE, 4 Jan – Bekas pemain nombor satu dunia, Rafael Nadal menikmati permulaan baik bagi Kejohanan Antarabangsa Brisbane pertamanya semalam, menyerbu pusingan kedua dengan kemenangan bersih ke atas pemain Ukraine, Alexandr Dolgopolov.

Nadal hanya memerlukan masa 74 minit untuk menewaskan Dolgopolov 6-3, 6-3 dan menempah pusingan kedua bagi pertembungan dengan pemain Jerman, Mischa Zverev, yang sebelum itu menewaskan pemain Australia berusia 17 tahun, Alex De Minaur 6-3,6-3.

Dolgopolov sebelum ini pernah mengalahkan Nadal dalam dua pertemuan mereka dan dia bermula dengan baik, memecahkan servis kedua pemain Sepanyol tersebut.

“Sukar untuk bermain menentangnya,” kata Nadal mengenai Dolgopolov.

“Dia bermain seakan-akan seperti Kamikaze.

“Dia sangat agresif dengan semua pukulan. Sukar untuk membina mata dengannya.”

Nadal, yang bermain perlawanan terakhir hari tersebut dan hanya selesai sebelum tengah malam, hanya tiba di Brisbane dari Abu Dhabi pada hari Isnin dan berkata dia bergelut untuk menyesuaikan diri dengan perbezaan masa. – AFP