Tuesday, October 8, 2024
22.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Nadal raih gelaran ke-10

    PARIS, 12 Jun – Rafael Nadal berkata ia agak mustahil untuk dia menjelaskan perasaannya selepas menewaskan Stan Wawrinka, sekali gus merangkul gelaran Terbuka Perancis ke-10 buat dirinya.

    Pemain Sepanyol itu menewaskan juara Roland Garros 2015, Wawrinka 6-2, 6-3, 6-1 untuk menjadi pemain lelaki pertama memenangi gelaran Grand Slam yang sama sebanyak 10 kali.

    “Ia amat menakjubkan. Memenangi La Decima sesuatu yang amat, amat istimewa,” kata Nadal selepas merangkul gelaran Utama ke-15 kerjayanya, hanya tiga di belakang Roger Federer yang mengumpul 18 gelaran.

    “Perasaan yang menyelubungi saya sekarang mustahil untuk diterangkan. Debaran, adrenalin ketika beraksi di atas gelanggang ini, ia tidak dapat dibandingkan.

    “Ia adalah peristiwa penting dalam kerjaya saya, menang semula di sini memang tidak dapat digambarkan.”

    Rafael Nadal menggigit trofi kemenangannya bagi gelaran Terbuka Perancis ke-10 selepas menewaskan Stan Wawrinka 6-2, 6-3, 6-1 di Roland Garros. – AP
    Rafael Nadal menggigit trofi kemenangannya bagi gelaran Terbuka Perancis ke-10 selepas menewaskan Stan Wawrinka 6-2, 6-3, 6-1 di Roland Garros. – AP

    Penonton di gelanggang Philippe Chatrier memegang kain rentang yang menghargai pencapaian Nadal sambil tayangan video semua kejuaraannya turut dimainkan.

    Nadal turut memberi penghargaan kepada bapa saudaranya yang juga jurulatihnya selama ini, Toni Nadal yang akan bersara akhir musim ini.

    Toni menghadiahkan replika trofi Coupe des Mousquetaires kepada Nadal sebagai cenderahati Terbuka Perancis terakhirnya sebelum menyerahkan tugas melatih anak saudaranya kepada juara 1998, Carlos Moya.

    Nadal, yang menebus kekalahannya kepada Wawrinka pada final Terbuka Australia 2014, memberikan penghormata kepada pesaingnya dari Switzerland itu.

    “Beberapa tahun kebelakangan ini anda beraksi dengan hebat. Minta maaf untuk hari ini, tetapi anda telah mengharungi beberapa minggu yang luar biasa,” tambahnya.

    Wawrinka mengalami kekalahan pertamanya dalam empat final Slam dan mengakui bahawa dia bukan tandingan Nadal dalam perlawanan itu. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda