Wednesday, April 24, 2024
25.5 C
Brunei

    -

    Nadal rekod gelaran Grand Slam ke-22

    PARIS, 6 JUN – Pemain tenis sensasi, Rafael Nadal merangkul kejuaraan Terbuka Perancis ke-14nya dengan penuh gaya apabila menundukkan Casper Ruud dari Norway menerusi tiga set 6-3, 6-3, 6-0 dan menjadi juara tertua di Roland Garros, sekali gus mendedahkan bahawa dia akan menjalani rawatan pada kecederaan kakinya, kelmarin.

    “Saya tidak dapat jangka apa yang bakal berlaku pada masa hadapan, tetapi saya akan terus berjuang untuk meneruskannya,” kata Nadal selepas perlawanan, lapor Xinhua.

    Pemain pilihan kelapan, Ruud, yang pernah belajar di sekolah tenis yang sama dengan Nadal cuba bangkit pada set kedua, untuk mendahului 3-1. Namun kehebatan Nadal yang akan menyambut ulang tahun ke-36nya pada Jumaat ini membuktikan bahawa beliau adalah raja gelanggang tenis.

    Kemenangan tersebut juga membantu pemain Sepanyol itu memperbaiki rekod di Roland Garros kepada 112 kemenangan dan hanya tiga kekalahan.

    Trofi ke-14 di gelanggang tenis itu adalah gelaran Grand Slam ke-22nya.

    Mengenai kesakitan yang dialami pada kakinya, pemain tersebut memerlukan suntikan penahan sakit pada kaki kirinya sebelum bermain dalam semua perlawanan di Paris, dan akan menjalani rawatan sekali lagi pada minggu ini di Sepanyol.

    “Jika rawatan tersebut berjaya, saya akan terus beraksi dalam sukan tenis. Jika tidak, ia adalah sebaliknya dan saya berfikir tentang melakukan pembedahan serta berkemungkinan rawatan tersebut mengambil masa yang lama untuk kembali beraksi,” kata Nadal.

    Pada ketika ini, Nadal dan pasukan perubatannya akan melakukan teknik di mana ia akan membakar urat saraf menggunakan sesuatu yang digambarkannya sebagai ‘suntikan dengan frekuensi radio’ kepada ‘sleep the two nerves’. – AFP/Bernama

    Nadal menjulang piala kemenangan selepas menewaskan Casper Ruud pada pusingan akhir Terbuka Perancis. – AFP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Korea Utara hantar delegasi ke Iran

    PYONGYANG, 24 APRIL - Delegasi ekonomi Korea Utara peringkat tinggi sedang dalam perjalanan ke Iran, kata media negara Korea Utara pada hari ini, untuk...