BARCELONA, 20 Sept – Pemain nombor satu dunia Rafael Nadal mengumumkan penarikan dirinya daripada dua kejohanan di Beijing dan Shanghai ekoran kecederaan lutut kanan yang memaksa dia menamatkan perlawanan lebih awal di Terbuka Amerika Syarikat, baru-baru ini.
Nadal terpaksa menarik diri ketika menentang Juan Martin del Potro pada peringkat separuh akhir di New York dan terlepas perlawanan Piala Davis Sepanyol yang menyaksikan pasukannya tewas kepada Perancis, minggu lalu.
Pemain berusia 32 tahun itu berkata dia mendapatkan rawatan di Barcelona pada Isnin lalu dan membuat keputusan untuk tidak beraksi di ATP 500 di Beijing dan Masters 1000 di Shanghai.
“Oleh kerana gangguan di lutut saya bukan baru, kami dan pasukan perubatan serta teknikal mengambil keputusan tidak menyertai jelajah Asia bagi membolehkan lutut saya kembali pulih,” kata Nadal semalam.
“Saya minta maaf kepada semua peminat di China dan penganjur di Beijing dan Shanghai yang mempunyai hubungan baik dengan saya dan pasukan.”
Nadal adalah juara bertahan di Beijing dengan menewaskan Nick Kyrgios pada final tahun lalu. Dia juga naib juara di Shanghai selepas tewas di tangan Roger Federer.
Dengan ketiadaan Nadal di kedua-dua kejohanan itu bulan depan membuka peluang kepada Novak Djokovic menamatkan musim 2018 dengan menduduki ranking teratas ATP walaupun Nadal sekali lagi mengharungi musim positif.
Bintang Sepanyol itu meraih trofi ke-11 Terbuka Perancis pada Jun lalu dan mengungguli kejohanan tanah liat di Monte Carlo, Barcelona dan Rome.
Dia tewas di separuh akhir Wimbledon kepada Djokovic sebelum kecederaan lutut menghampakannya di Flushing Meadows. – AFP