Nadal tawan gelaran Masters ke-35

MONTREAL, KANADA, 12 OGOS – Rafael Nadal membelasah pemain Rusia, Daniil Medvedev 6-3, 6-0 untuk menjuarai kejohanan di Montreal dan melebarkan rekod kemenangannya dalam siri Masters 1000.

Pemain nombor dua dunia itu mengesahkan gelaran Masters ke-35 dalam kariernya, dua kali mengatasi Novak Djokovic dalam kategori sama.

Raja gelanggang tanah liat itu mempertahankan gelaran di gelanggang permukaan keras buat pertama kali dalam kariernya.

“Penting buat saya untuk memulakan perlawanan dalam keadaan yang baik,” kata juara Grand Slam 18 kali itu.

“Dia bermain dengan baik, beraksi dalam banyak perlawanan sejak beberapa minggu lalu.”

Nadal meraikan kejayaan bersama trofi kemenangannya selepas berjaya menewaskan Daniil Medvedev pada perlawanan mereka di Montreal, 11 Ogos. – AP

Nadal sebaliknya hanya beraksi dalam tiga perlawanan di gelanggang permukaan keras dalam persiapannya untuk Terbuka Amerika Syarikat minggu ini, mara ke final selepas kemenangan percuma ke atas Gael Monfils yang menarik diri akibat kecederaan di separuh akhir.

“Saya bermain dengan mantap, minggu terbaik saya setakat ini. Saya rasa saya bermain dengan bijak,” katanya.

Nadal hanya memerlukan 70 minit untuk menewaskan Medvedev sekali gus merangkul kejuaraan kelimanya di Kanada sejak tahun 2005.

Ia juga adalah gelaran ketiga Nadal tahun ini, selepas kejayaan di gelanggang tanah liat di Rom dan Terbuka Perancis.

Beberapa jam kemudian, Nadal berkata beliau akan berehat daripada beraksi pada Cincinnati Masters bermula hari ini.

“Tiada sebab lain melainkan untuk berehat dan cuba menjaga kesihatan seperti yang saya rasa sekarang,” kongsinya dalam Facebook. – AFP