PARIS, 10 OKT – Rafael Nadal hari ini mengumumkan bahawa beliau akan bersara selepas final Piala Davis pada November ini, sekali gus menutup tirai karier gemilang yang menyaksikan dirinya merangkul 22 gelaran Grand Slam, serta mencipta persaingan epik bersama dua legenda tenis dunia, Roger Federer dan Novak Djokovic.
“Saya akan bersara daripada tenis profesional. Hakikatnya, beberapa tahun kebelakangan ini sangat mencabar, terutamanya dua tahun terakhir,” kata Nadal dalam video yang dikongsi menerusi media sosial.
“Sudah tentu, keputusan ini bukan mudah dan memakan masa untuk saya buat. Namun, setiap perkara dalam hidup pasti ada permulaan dan peng-akhirannya,” tambahnya.
Pemain berusia 38 tahun dari Sepanyol itu dijangka menamatkan kariernya selama 20 tahun dengan 92 gelaran serta kutipan hadiah wang tunai bernilai AS$135 juta.
Nadal mendominasi Terbuka Perancis di mana dia memenangi 14 gelaran Grand Slam, termasuk kemenangan pertama yang diraih sejurus selepas ulang tahunnya yang ke-19 pada 2005. Kemenangan terakhirnya di Roland Garros pada 2022 menjadikannya juara tertua dalam sejarah kejohanan itu.
Di gelanggang Roland Garros, Nadal hanya tewas tiga kali daripada 115 perlawanan yang disertainya.
Nadal juga pernah memenangi empat gelaran Terbuka Amerika Syarikat (AS) serta dua gelaran Terbuka Australia. Beliau pertama kali menjuarai Terbuka Australia pada 2009 dan sekali lagi mengulanginya selepas 13 tahun pada 2022. Walaupun gelanggang rumput bukan permukaan kegemarannya, Nadal tetap berjaya menjuarai Wimbledon dua kali, pada 2008 dan 2010.
Perlawanan akhir Wimbledon 2008 yang berlangsung dalam lima set antara Nadal dan Federer, yang berakhir dalam keadaan hampir gelap di All England Club, dianggap sebagai perlawanan akhir Grand Slam terbaik sepanjang zaman. – AFP