Andai insan lain teruja meraikan Aidilfitri, mana mungkin aktres jelita, Nadia Brian tenang di pagi raya apabila empat insan tersayang iaitu ibu, nenek, adik dan anak saudara disahkan positif COVID-19.
Nadia yang kali pertama beraya sendirian selepas berpisah dengan suami pada 6 Mei lalu, risau memikirkan ibu, adik dan anak saudara yang ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), Selangor.
Tambah mengganggu fikiran Nadia adalah keadaan neneknya yang dirawat di Hospital Sungai Buloh (HSB). Nadia mengaku sedih tidak dapat meraikan hari kemenangan umat Islam bersama empat insan tersayang itu.
“Saya beraya dengan kakak dan anaknya di Subang, Petaling Jaya,” katanya kepada media.
Nadia berkata, biarpun sudah menerima keputusan ujian saringan yang mendapati dirinya bebas daripada jangkitan virus itu, semalam, dia masih sayu.

“Biarpun saya dapat keputusan negatif selepas melakukan kuarantin kendiri di rumah, hati masih sayu.
“Iyalah, sudahlah segala-galanya terbatas kerana kita dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0, insan tersayang pula tiada di sisi.
“Namun, saya akur dan reda. Saya harap ibu, nenek, adik dan anak saudara lekas pulih seperti biasa,” katanya.
Berikutan situasi dihadapinya, Nadia tidak beriya-iya memikirkan persiapan menyambut Aidilfitri.
“Saya hanya mahu bersama keluarga seperti biasa… Itu sahaja harapan dan keinginan besar saya.
“Baju raya pun tak sempat beli. Namun, ada pereka fesyen dan peniaga atas talian bermurah hati memberi tajaan.
“Saya bersyukur ramai orang ambil berat terhadap saya,” katanya yang muncul dalam telefilem Takdir Yang Tertunda siaran TV3 dan Aku Yang Kau Gelar Isteri dalam slot Cerekarama Raya pada 22 Mei depan. – Agensi