Nafi beri PATI kad pengenalan

KUDAT, 13 Feb – Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Datuk Mohammad Razin Abdullah menafikan khabar angin kononnya ada pendatang tanpa izin (PATI) di Sabah diberikan kad pengenalan atau sijil lahir.

Beliau berkata pengeluaran kad pengenalan atau sijil lahir adalah berdasarkan status kewarganegaraan ibu dan bapa kepada kanak-kanak yang lahir di negara ini.

“Jika ibu dan bapa kanak-kanak berkenaan bukan warganegara kita tidak boleh berikan sijil lahir seperti apa yang termaktub dalam perlembagaan.

“Kalau ada dakwaan yang mengatakan kita mengeluarkan dokumen pengenalan diri kepada PATI, itu tidak benar dan hanya fitnah. Semua dokumen yang dikeluarkan oleh JPN mengikut proses dan prosedur yang telah ditetapkan,” katanya kepada pemberita selepas melawat pejabat JPN Kudat di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas pelbagai dakwaan yang ditular di media sosial bahawa kerajaan memberikan dokumen pengenalan diri kepada PATI di Sabah. Mengulas mengenai pengeluaran kad pengenalan palsu yang didakwa berlaku di Sabah susulan penangkapan seorang lelaki warga Filipina memohon kerja menggunakan kad pengenalan palsu di sebuah syarikat di Kawasan Perindustrian Kampung Acheh, Sitiawan, Perak bulan lepas, Mohammad Razin berkata ia adalah perbuatan pihak yang tidak bertanggungjawab.

“Memang ada kad pengenalan palsu namun kad pengenalan berkenaan sangat mudah dikenal pasti oleh pegawai JPN kerana ia tidak sama seperti kad pengenalan asli,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata JPN Sabah akan terus melaksanakan Program Mobile Ehsan khususnya di kawasan pedalaman yang sukar untuk pemohon mendapatkan akses ke pejabat JPN.

“Kita mahu pastikan mereka yang layak memperolehi kad pengenalan atau sijil lahir walau di mana pun mereka berada, pegawai kita akan ke tempat berkenaan bagi memastikan mereka mendapatkan dokumen pengenalan diri,” katanya. – Bernama

Datuk Muhammad Razin Abdullah (dua, kanan) menyerahkan kad pengenalan kepada seorang penduduk Kudat ketika melakukan lawatan di Pejabat Jabatan Pendaftaran Negara Daerah Kudat. – Bernama