Nafuzi akui tugas sukar menanti di Shah Alam

KUALA NERUS, 15 NOV – Ketua jurulatih Terengganu FC (TFC), Nafuzi Zain mengakui bakal berdepan tugas sukar apabila berdepan Sarawak United FC pada pusingan kedua suku akhir saingan Piala Malaysia di Shah Alam, Selangor Khamis ini.

Hal ini kerana memandangkan Terengganu hanya mencatat kemenangan tipis 2-1 ke atas Sarawak dalam aksi suku akhir pertama di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin kelmarin.

Bagaimanapun beliau tetap berpuas hati dengan prestasi anak buahnya yang berusaha ‘menghidangkan’ persembahan terbaik dan penuh dramatik buat 9,000 penonton yang hadir memberi sokongan kepada skuad Penyu itu.

“Saya sebenarnya sudah jangka situasi dan masalah apa yang akan kami hadapi apabila berdepan Sarawak, tetapi tetap bersyukur kerana menang.

“Keputusan itu pastinya bukan bekalan yang selesa, tetapi peluang masih ada dan kami akan cuba yang terbaik apabila beraksi di Shah Alam nanti,” katanya selepas perlawanan menentang Sarawak United FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin kelmarin. Pada perlawa-nan itu, Terengganu berjaya mengatasi Sarawak 2-1 hasil ja-ringan penyerang kebangsaan, Faisal Abdul Halim pada minit ke-16 dan Mohd Faiz Nasir, minit ke-51. – Bernama