Thursday, April 25, 2024
27.9 C
Brunei

    -

    Nafuzi belum beri kata putus

    KUALA NERUS, 26 OKT – Pengendali Terengganu FC (TFC) Nafuzi Zain enggan mengambil keputusan terburu-buru berhubung tawaran lanjutan kontrak sebagai ketua jurulatih pasukan itu musim depan.

    Sebaliknya, jurulatih kelahiran Kelantan itu berkata beliau akan mengadakan perbincangan dengan pihak pengurusan Terengganu Football Club Sdn Bhd sebelum memutuskan sama ada mahu terus kekal membimbing skuad Penyu ataupun menimba pengalaman di tempat lain.

    Nafuzi berkata pada dasarnya beliau amat berterima kasih kepada ahli lembaga pengarah Terengganu Football Club Sdn Bhd atas tawaran itu, tetapi memerlukan sedikit masa untuk membuat keputusan yang akan menentukan hala tuju masa depannya dalam kancah bola sepak negara.

    “Sekarang saya belum tahu apa-apa kerana pengurusan tertinggi baru selesai bermesyuarat tengah hari tadi (semalam). Tunggulah apa tawaran yang akan diberikan. Saya akan teliti dan bincang dengan pengurusan sebelum buat keputusan.

    “Lagipun saya perlu beri tumpuan kepada dua perlawanan dengan Sri Pahang bagi kempen Piala Malaysia malam esok (hari ini) dan 1 November depan,” katanya ketika ditemui ketika sesi latihan di Kompleks Sukan Gong Badak di sini, petang semalam.

    Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah Terengganu Football Club Sdn Bhd semalam mengumumkan menawarkan lanjutan kontrak sebagai ketua jurulatih skuad Penyu kepada Nafuzi bagi tempoh setahun musim depan.

    Beliau yang telah empat musim membimbing pasukan hitam putih itu diberikan tempoh dua minggu untuk memberikan jawapan sama ada mahu menerima tanggungjawab berkenaan atau sebaliknya.

    Dalam pada itu, Nafuzi yang juga bekas penyerang Terengganu turut melahirkan ucapan penghargaan tidak terhingga kepada pemain dan peminat bola sepak Terengganu yang sentiasa memberi sokongan padu sehingga beliau mampu mencapai Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) yang ditetapkan pihak pengurusan.

    Katanya, tugas itu diakui bukan mudah, namun kerja keras pemain dan sokongan padu membolehkan TFC merangkul gelaran naib juara Piala FA serta layak ke Piala Konfederasi Asia (AFC) musim depan. – Bernama

    Jurulatih Terengganu FC (TFC), Nafuzi Zain semasa menjalani sesi latihan di Padang C, Kompleks Sukan Gong Badak. – Bernama
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gangguan bekalan elektrik, pelepasan air terawat Fukushima digantung

    TOKYO, 24 APRIL - Pelepasan air sisa terawat ke lautan dari loji nuklear Fukushima yang rosak telah digantung hari ini berikutan gangguan bekalan elektrik...