Nagaenthran sudah menerima proses perundangan sewajarnya

SINGAPURA, 12 NOV – Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong dan Menteri Hal Ehwal Luar Dr Vivian Balakrishnan sudah pun membalas surat rakan sejawatan dari Malaysia, memaklumkan bahawa rakyat Malaysia yang sedang menunggu hukuman mati atas sabitan kesalahan dadah di republik itu telah menerima proses perundangan sewajarnya.

Ini berdasarkan kenyataan dikeluarkan Kementerian Luar Singapura sebagai menjawab pertanyaan media mengenai surat yang diutus pemimpin Malaysia berhubung penghakiman kes Nagaenthran K Dharmalingam, 33, rakyat Malaysia yang berasal dari Perak. 

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah sebelum ini telah mengutus surat kepada rakan sejawatan di Singapura, meminta budi bicara pihak berkuasa di Singapura untuk memberikan Pengampunan Presiden kepada Nagaenthran.

Saifuddin sebelum ini dilaporkan berkata: “Dalam hal ini saya kena ulang, kita boleh memohon melalui cara kita, berhubung dengan mengutus surat, tetapi kita tidak boleh campur daripada segi urusan dan proses undang-undang di negara Singapura,” katanya kepada pemberita sambil menambah Malaysia menghormati proses udang-undang Singapura.

Nagaenthran ditahan pihak berkuasa Singapura pada 22 April 2009 atas kesalahan penyeludupan dadah jenis diamorphine 42.72 gram dan dijatuhkan hukuman mati pada 22 November 2010. – Bernama