Thursday, September 19, 2024
23.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Nagasaki memperingati ulang tahun pengeboman atom

    TOKYO, 9 OGOS – Nagasaki menandakan ulang tahun ke-79 pengeboman atomnya pada akhir Perang Dunia Kedua dalam satu upacara hari ini tanpa kehadiran duta Amerika dan utusan-utusan Barat lain sebagai tindak balas terhadap keengganan bandar Jepun itu untuk menjemput Israel.

    Datuk Bandar Shiro Suzuki, dalam ucapan di Taman Keamanan Nagasaki, menyeru negara-negara senjata nuklear dan mereka yang berada di bawah naungan nuklear mereka, termasuk Jepun, untuk menghapuskan senjata berkenaan.

    “Awda mesti menghadapi realiti bahawa kewujudan senjata nuklear menimbulkan ancaman yang semakin meningkat kepada manusia, dan awda mesti membuat pendirian berani ke arah pemansuhan senjata nuklear,” kata Suzuki.

    Beliau memberi amaran bahawa dunia menghadapi ‘situasi kritikal’ kerana pencerobohan Rusia ke atas Ukraine dan konflik-konflik yang semakin meningkat di Timur Tengah.

    Bom atom yang digugurkan oleh Amerika Syarikat (AS) di Nagasaki pada 9 Ogos 1945 membunuh 70,000 orang, tiga hari selepas pengeboman Hiroshima membunuh 140,000. Jepun menyerah kalah pada 15 Ogos 1945, menamatkan Perang Dunia Kedua dan pencerobohannya selama hampir separuh abad di seluruh Asia.

    Merpati terbang di atas Patung Keamanan semasa upacara menandakan ulang tahun ke-79 pengeboman atom AS di Taman Keamanan di Nagasaki, selatan Jepun, kelmarin. – AP

    Bercakap pada majlis itu, Perdana Menteri Fumio Kishida mengulangi ikrarnya untuk mengejar dunia bebas nuklear.

    Pengkritiknya, ramai daripada mereka yang terselamat daripada bom atom, atau hibakusha, berkata ia adalah janji kosong kerana Jepun bergantung pada naungan nuklear AS sambil membina tenteranya sendiri.

    Pada pukul 11:02 pagi, saat bom plutonium meletup di atas bandar selatan Jepun itu, para peserta bertafakur seketika ketika loceng keamanan berbunyi.

    Lebih 2,000 orang, termasuk wakil dari 100 negara, menghadiri majlis itu. Tetapi duta-duta dari AS dan lima negara Kumpulan Tujuh yang lain Kanada, Perancis, Jerman, Itali dan
    United Kingdom dan Kesatuan Eropah tidak hadir.

    Kerajaan mereka menghantar utusan berpangkat rendah sebagai tindak balas kepada keputusan Suzuki untuk tidak menjemput Israel. – AP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda