Nagelsmann sokong Lewandowski menangi anugerah Ballon d’Or

BERLIN, 15 OKT – Jurulatih Bayern Munich, Julian Nagelsmann menyokong penyerang Poland, Robert Lewandowski untuk memenangi anugerah Ballon d’Or ketika pendahulu Bundesliga itu bersedia untuk pertemuan dua kelab teratas liga menentang Bayern Leverkusen, esok.

“Robert layak untuk memenangi anugerah itu kerana bagi pendapat saya dia lebih konsisten berbanding mana-mana pemain lain,” kata Nagelsmann mengenai penyerang tersebut semasa temu bual dengan Abendzeitung.

Lewandowski, yang dicalonkan dalam anugerah tahunan berprestij itu bersama-sama Harry Kane, Leonardo Bonnuci dan Lionel Messi, berharap untuk memenangi anugerah Ballon d’Or pertamanya bulan depan selepas mene-rima anugerah Pemain Terbaik Tahunan pada 2020.

Pemain berusia 33 tahun itu ketika ini mengalami kemarau gol ketika Bayern cuba mempertahankan kedudukan ter-atas menentang Leverkusen, setelah gagal menjaringkan dua gol berturut-turut dalam perlawanan Bundesliga buat kali pertama sejak 2019.

Bayern berharap untuk kembali bangkit ke prestasi terbaik setelah dikejutkan dengan kekalahan di tangan Eintracht Frankfurt sebelum menuju ke perlawanan antarabangsa yang membolehkan Leverkusen untuk menyamakan kedudukan mata di tangga kedua.

Bintang Poland itu sudah mencetak tujuh gol setakat musim ini dan ketika ini merupakan penjaring terbanyak bersama di Bundesliga, bersama-sama dengan bintang muda Borussia Dortmund, Erling Haaland, dan satu gol di hadapan pemain Leverkusen, Patrik Schick.

Nagelsmann turut menyokong penyerang veteran itu terus kekal sebagai pemain berbisa di liga utama Jerman untuk beberapa tahun akan datang.

“Dia sangat dinamik, jarang mengalami kecederaan dan mampu menjalani latihan berat. Saya menyokongnya untuk terus beraksi di tahap tertinggi untuk beberapa tahun mendatang,” ujar jurulatih Bayern itu. – AFP

Gambar fail aksi Lewandowski semasa mewakili pasukan kebangsaan Poland baru-baru ini. Pengurus Bayern menyokong penyerang itu untuk memenangi Ballon d’Or tahun ini. – AP