Nahas 30 kereta, trak ragut 2 jiwa

SEOUL, KOREA SELATAN, 17 FEB – Dua orang terbunuh dan 38 cedera hari ini dalam perlanggaran kereta bertindan-tindih di lebuh raya dalam cuaca bersalji di barat daya Korea Selatan, kata pegawai.

Agensi Polis Wilayah Jeonbuk berkata perlanggaran bertindan-tindih membabitkan kira-kira 30 buah kenderaan, termasuk sebuah trak kimia yang membawa asid nitrik yang terbalik dan terbakar dalam sebuah terowong. Pegawai polis Jeon Gwang-hun berkata beliau tidak dapat memberikan butir lanjut disebabkan siasatan mengenai punca kemalangan masih diteruskan.

Kim Jun-ho, pegawai daripada Korea Expressway Corporation, berkata pekerjanya telah membersihkan salji di kawasan itu sebelum kemalangan dan masih tidak jelas sama ada kemalangan berpunca daripada keadaan jalan berais atau pemanduan cuai. – AP

Anggota bomba bekerja di tempat berlakunya perlanggaran kenderaan di sebuah terowong di lebuh raya di Namwon, Korea Selatan, kelmarin. – AP