Tuesday, August 9, 2022
26.8 C
Brunei

Nahas helikopter: Jeneral antara 13 maut

-

COONOOR, INDIA, 8 DIS – Ketua pertahanan India, Jeneral Bipin Rawat dan 12 yang lain terbunuh dalam nahas helikopter hari ini, dengan seorang mangsa terselamat telah dirawat kerana kecederaan.

Rawat adalah ketua turus pertahanan pertama India, satu jawatan yang kerajaan tersebut wujudkan pada tahun 2019, dan dilihat rapat dengan Perdana Menteri Narendra Modi.

Jeneral berusia 63 tahun itu membuat perjalanan bersama isteri dan para pegawai kanan lain dalam pesawat Mi-17 buatan Rusia, yang terhempas dekat destinasinya di negeri selatan Tamil Nadu.

“Kematian mengejutnya itu adalah kehilangan besar kepada angkatan bersenjata dan negara,” kata menteri pertahanan, Rajnath Singh dalam laman Twitter.

Rakaman dari tempat kejadian menunjukkan orang ramai cuba memadamkan bangkai kapal yang terbakar dengan baldi air manakala sekumpulan askar membawa seorang penumpang pergi dengan pengusung buatan sendiri.

Anggota bomba menjalankan operasi menyelamat dekat serpihan tapak nahas helikopter di Coonoor, Tamil Nadu pada 8 Disember. – AFP

Rawat sedang dalam perjalanan ke Kolej Turus Perkhidmatan Pertahanan (DSSC) untuk memberi taklimat kepada para pelajar dan fakulti dari pangkalan udara Sulur di Coimbatore.

Ia terhempas sekitar 10km dari jalan utama berdekatan, memaksa pekerja kecemasan untuk membuat perjalanan jauh menuju ke tapak kemalangan, kata pegawai bomba kepada AFP.

Satu-satunya mangsa terselamat adalah seorang kapten yang bekerja di DSSC, yang sedang dirawat kerana kecederaannya di hospital tentera berdekatan, kata angkatan udara.

Menteri luar negeri India, Subrahmanyam Jaishankar berkata dia ‘sangat terkejut’ dengan kemalangan dan kematian Rawat.

“Kami bekerja bersama dalam masa beberapa tahun ini. Ia merupakan kehilangan besar buat negara,” katanya.

Rawat datang daripada keluarga tentera dengan beberapa generasi telah lama berkhidmat dalam angkatan bersenjata India.

Beliau diberikan pujian kerana mengurangkan pemberontakan di sempadan timur laut India dan menyelia operasi pencegahan pemberontakan rentas sempadan ke negara jiran Myanmar.

Rawat merupakan ketua kepada 1.3 juta askar dari tahun 2017 hingga 2019 sebelum dinaikkan sebagai ketua perkhidmatan pertahanan, yang penganalisis katakan untuk meningkatkan integrasi antara pasukan tentera darat, udara dan laut.

Helikopter Mi-17, yang digunakan pertama kali pada tahun 1970an terutama dalam perkhidmatan pertahanan seluruh dunia, telah terlibat dalam beberapa kemalangan beberapa tahun kebelakangan. – AFP

- Advertisment -

DISYORKAN UNTUK ANDA

Ershun lahirkan panda kembar

CHONGQING, 8 OGOS – Seekor panda gergasi bernama Ershun telah melahirkan anak kembar 22 Julai lalu di sebuah zoo di barat daya China, Perbandaran...
- Advertisment -