RENNES, PERANCIS, 11 OKT – Empat orang terbunuh dan seorang hilang selepas sebuah kapal terbang pelancong dan sebuah pesawat udara kecil berlanggar di barat Perancis semalam, kata pihak berkuasa tempatan.
Kapal terbang kecil yang membawa dua orang berlanggar dengan kapal terbang pelancong DA40 dengan tiga penumpang pada kira-kira 4:30 petang di Loches di kawasan Indre-et-Loire, beritahu pegawai kerajaan tempatan Nadia Seghier kepada AFP.
“Kapal terbang kecil mendarat di pagar sebuah rumah tanpa mencederakan sesiapa dan kapal terbang DA40 beberapa ratus meter di sebuah kawasan tanpa penghuni,” kata Seghier. Gregoire Dulin, pendakwa dari kawasan Tours berhampiran, berkata empat mayat telah ditemui dari kedua-dua kapal terbang.
“Seorang penumpang dikatakan terjatuh dari kapal terbang, masih belum ditemui,” katanya, menambah kapal terbang lebih besar telah terhempas ke pokok di sebuah kawasan yang sukar dimasuki. Saksi Genevieve Allouard-Liebert berkata dia terdengar ‘bunyi dentuman kuat’ semasa berada di luar halaman rumah bersama suaminya.
Pasangan itu ternampak seorang lelaki terjatuh 10 meter dari kapal terbang lebih besar ke sebuah ladang tatkala pesawat udara itu meluncur di atas bumbung rumah berhampiran, tambahnya. Kira-kira 50 anggota bomba dikerah ke tempat nahas, sementara 30 pegawai polis mendirikan lencongan jalan di dua tapak nahas itu. Punca perlanggaran masih belum diketahui. Datuk bandar Marc Angenault berkata cahaya matahari yang menyilaukan mungkin mengaburkan mata salah seorang juruterbang. – AFP