Nahas pesawat MH17, empat dibicarakan

NIEUWEGEIN, BELANDA, 19 JUN – Pendakwa Belanda akan membicarakan empat orang atas dakwaan membunuh pada tahun depan berhubung pesawat MH17 yang ditembak jatuh di Ukraine, di mana 298 orang terbunuh, kata saudara mangsa korban hari ini.

Kes mahkamah berhubung nahas kapal terbang Malaysia Airlines akan bermula di Belanda pada Mac 2020, menurut ahli keluarga yang diberi taklimat sebelum pengumuman oleh penyiasat antarabangsa pada 1100 GMT.

Identiti empat orang yang didakwa tidak dapat diperoleh tetapi seorang menteri Ukraine dan laporan berkata semalam mereka termasuk sekurang-kurangnya seorang pegawai kanan Rusia.

Kapal terbang yang sedang dalam perjalanan di antara Amsterdam dan Kuala Lumpur itu terbelah dua di udara selepas terkena peluru berpandu di wilayah di timur Ukraine yang dikawal oleh pemisah pro-Rusia pada 17 Julai 2014, kata penyiasat.

“Terdapat kes mahkamah pada 9 Mac 2020 ke atas empat orang kerana membunuh,” beritahu Silene Fredriksz, di mana anak lelaki dan menantunya terbunuh dalam nahas itu, kepada wartawan.

Wilbert Paulissen daripada Pasukan Siasatan Bersama (JIT) mengadakan sidang akhbar JIT mengenai siasatan nahas Malaysia Airlines MH17 di Nieuwegein, Belanda kelmarin. – AFP

“Saya berasa gembira perbicaraan akhirnya akan bermula dan nama telah pun diumumkan. Ia satu permulaan. Saya berpuas hati.”

Dakwaan dikemukakan hampir satu tahun selepas siasatan antarabangsa dalam nahas berkata peluru berpandu BUK yang terkena Boeing 777 datang daripada briged tentera Rusia yang berpangkalan di barat daya bandar Kursk.

Ketika ditanya sama ada beliau menyalahkan sesiapa untuk nahas ini, Fredriksz berkata: “Presiden Rusia Vladimir Putin.

“Disebabkan beliau yang menjadikannya berlaku. Beliau mewujudkan situasi ini. Beliau ialah orang utama yang bertanggungjawab.”

Rusia telah menafi semua penglibatan dalam nahas MH17. – AFP