Nahas van-trak korban 25 jiwa

BANGKOK, 2 Jan – Seramai 25 orang maut apabila sebuah van mini dan sebuah trak pikap bertembung di Chonburi, daerah Banbueng, hari ini.

Menurut ketua polis Daerah Banbueng Kol Dussadee Kunchon Na Ayutthaya, kemalangan yang mengakibatkan kedua-dua kenderaan itu terbakar, berlaku pada 2 petang (waktu tempatan).

“Mereka yang maut terdiri daripada 14 penumpang van dan 11 penumpang trak pikap,” katanya kepada media hari ini.

Menurut sumber AFP, polis mengatakan pemandu van itu hilang kawalan dan merempuh ke arah sebuah tanah rizab dalam laluan lalu lintas bertentangan di timur wilayah Chonburi. Kedua-dua kenderaan meletup terbakar.

Seramai 25 penumpang sebuah van dan sebuah trak pikap terbunuh dalam kemalangan di daerah Banbueng, wilayah Chonburi di timur Thailand kira-kira 2 petang kelmarin (waktu tempatan). – Bernama
Seramai 25 penumpang sebuah van dan sebuah trak pikap terbunuh dalam kemalangan di daerah Banbueng, wilayah Chonburi di timur Thailand kira-kira 2 petang kelmarin (waktu tempatan). – Bernama

Hanya dua penumpang, masing-masing seorang daripada setiap kenderaan itu, terselamat dan kini dirawat di hospital daerah Banbueng, kata Kol Ayutthaya.

Beliau berkata mayat semua mangsa, sesetengahnya terbakar teruk dan tidak dapat dikenali, dihantar ke hospital sama untuk dibedah siasat, sebelum diserahkan kepada waris masing-masing untuk dikebumikan. Siaran rakaman dalam Saluran 3 menunjukkan anggota bomba berusaha memadamkan kebakaran, memisahkan bangkai kenderaan yang remuk. – AFP/Bernama