Tuesday, December 3, 2024
23.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Naib Presiden Filipina gagal hadiri perbicaraan susulan ‘ancaman’ bunuh Marcos

    MANILA, 29 NOV – Naib Presiden Filipina, Sara Duterte, gagal hadir pada pertemuan dengan penyiasat kerajaan hari ini selepas dia dituduh sebagai ‘dalang yang mengaku’ dalam satu rancangan untuk membunuh Presiden Ferdinand Marcos.

    Duterte, yang telah diberikan sepina pada Isnin lalu dan diminta untuk memberi keterangan berikutan satu sidang media hujung minggu lalu di mana beliau mendakwa telah mengarahkan seseorang untuk membunuh presiden sekiranya ancaman terhadap nyawanya sendiri benar-benar terjadi kenyataan yang kemudian dijelaskannya sebagai disalah tafsir.

    Namun, hari ini peguamnya menyatakan bahawa Duterte sibuk dengan ‘urusan pejabat yang memerlukan perhatian segera,’ merujuk kepada satu perbincangan di Dewan Perwakilan yang akhirnya dibatalkan.

    Pengarah Biro Penyiasatan Kebangsaan, Jaime Santiago, memberitahu pemberita pertemuan Duterte dengan penyiasat telah dijadualkan semula pada 11 Disember, sambil menekankan bahawa naib presiden ‘tidak terlepas daripada pendakwaan.’

    Sekiranya tuduhan jenayah formal dikenakan terhadap naib presiden, ia boleh membawa kepada hukuman penjara.

    Pada Rabu, naib presiden mendakwa bahawa siasatan terhadap ancaman yang didakwanya serta penyiasatan berkaitan kewangannya di Dewan Perwakilan adalah usaha untuk menyingkirkannya dari jawatan.

    Namun, pihak Dewan Perwakilan menafikan bahawa mereka merancang untuk memecatnya dan Marcos hari ini menyatakan usaha tersebut dianggap sia-sia. – AFP

    Jaime Santiago menunjukkan salinan surat Naib Presiden Sara Duterte kepada NBI semasa sidang media di pejabat Biro Siasatan Kebangsaan kelmarin. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda