Naik taraf kompleks Sukma 2020

JOHOR BAHRU, 6 FEB – Kerja-kerja pembinaan dan menaik taraf semua 18 kompleks sukan bagi Sukan Malaysia (Sukma) Johor 2020 dijangka siap mengikut jadual yang ditetapkan pada April ini.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Kebudayaan dan Warisan Johor, Mohd Khuzzan Abu Bakar berkata kerja-kerja pembinaan dan menaik taraf kini sudah menghampiri 90 peratus.

Antara venue dalam pembinaan ialah Arena Larkin, Stadium Olahraga dan Stadium Ragbi Sports City di Mount Austin serta trek Velodrome dan Arena Emas di Taman Impian Emas, manakala antara venue yang dinaik taraf pula ialah Pusat Akuatik Arena Larkin.

Sukma yang dijadualkan berlangsung pada 11 hingga 19 Julai ini, menjadikan tiga daerah di Johor iaitu Johor Bahru sebagai hab utama, Kota Tinggi (sukan layar dan berbasikal lebuh raya) serta Muar (kanu dan angkat berat). Sementara itu, Mohd Khuzzan memaklumkan program Karnival Semarak Juara 2020 yang bertujuan untuk mempromosi Sukma Johor 2020 pada 13 Februari ini akan ditangguhkan berikutan kebimbangan penularan koronavirus 2019 (2019-nCoV). – Bernama

“Kita akan tangguhkan sementara karnival ini sehingga akhir Februari, selepas itu barulah kita akan kaji semula berdasarkan situasi dan keadaan semasa,” katanya dalam sidang media, hari ini. – Bernama

Pembinaan dan menaik taraf stadium sedang dijalankan untuk digunakan Sukma Johor 2020. – Bernama