KOTA KINABALU, 13 April – Kementerian Pembangunan Infrastruktur Sabah akan terus meningkatkan mutu perkhidmatan kereta api di negeri ini yang semakin popular sebagai mod pengangkutan dalam kalangan masyarakat, termasuk pelancong.
Menterinya Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah, berkata antara langkah yang diambil ialah dengan menambah aset dan menaik taraf landasan kereta api.
“Bagi maksud ini, dua relbas baharu kini sudah mula digunakan, di samping sebuah tren berasaskan unit diesel pelbagai (DMU) baharu dengan kapasiti 200 penumpang untuk meningkatkan keupayaan perkhidmatan di sektor Beaufort-Tenom.
“Kementerian menerusi Jabatan Keretapi Negeri Sabah (JANS) juga dalam perancangan untuk menambah tiga lagi DMU dan menaik taraf landasan dari Halogilat ke Tenom yang kedua-duanya dijangka dimulakan dalam tahun ini melibatkan pembiayaan kerajaan pusat berjumlah kira-kira RM100 juta,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini hari ini.
Selain itu, Pairin berkata JANS juga akan melaksanakan kajian bagi meningkatkan sistem komunikasi dan perhubungan di semua stesen kereta api.
Beliau juga berkata kementeriannya turut memberi fokus kepada pembangunan pelabuhan di Sabah menerusi Lembaga Pelabuhan-Pelabuhan Sabah (LPPS) bagi menggalakkan pertumbuhan sektor industri dan pembangunan ekonomi negeri.
“Visi LPPS sebagai hab logistik bagi rantau Kawasan Pertumbuhan Ekonomi ASEAN Timur, Brunei, Indonesia, Malaysia dan Filipina (BIMP-EAGA) dan negara-negara Timur Jauh Asia serta Pasifik Selatan akan meningkatkan hubungan perdagangan secara terus dengan negara-negara di rantau tersebut.
“Dengan keupayaan ini, dijangkakan dapat membantu meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara dan menggalakkan pelabur-pelabur asing untuk melabur di Sabah,” katanya.
Pairin berkata, strategi untuk tahun ini lebih tertumpu kepada meningkatkan tahap perkhidmatan dan kapasiti pelabuhan utama, terutamanya Pelabuhan Kontena Teluk Sapangar (SBCP) sebagai jalinan rangkaian logistik sektor pengangkutan yang efisien dengan sokongan tujuh pelabuhan lain di seluruh ne-geri.
Menurutnya, projek pembesaran SBCP melibatkan peruntukan sebanyak RM1.027 bilion dalam Rancangan Malaysia Ke-11 untuk fasa pertama sebagai inisiatif hab pindah kapal. – Bernama