Naik taraf loji, sambung paip jejas bekalan air

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 JAN – Jabatan Kerja Raya (JKR) memaklumkan bahawa gangguan bekalan air atau tekanan air rendah akan berlaku di beberapa kawasan bermula 10 malam esok (21 Januari) hingga 3 pagi.

Kawasan-kawasan terlibat ialah Kampung Mentiri, Kampung Sungai Belukut, Kampung Sungai Buloh, Kampung Pelambayan dan sekitarnya. JKR dalam kenyataannya menyatakan bahawa gangguan ini disebabkan kerja-kerja penyambungan paip air lama kepada baharu berukuran 300mm akan dijalankan di kawasan Sungai Besar.

Dalam kenyataan berasingan, JKR turut memaklumkan bahawa kerja-kerja meningkatkan taraf Loji Rawatan Air Bukit Barun akan diteruskan lagi esok, pukul 9 malam. Kenyataan menjelaskan, kerja-kerja tersebut akan mengambil masa enam jam maksimum dan akan mengakibatkan pengurangan pada penghasilan air bersih. Oleh yang demikian, beberapa kawasan akan menerima gangguan bekalan air dan tekanan air rendah terutama sekali bagi kawasan yang tinggi pada tarikh tersebut. Kawasan-kawasan yang terlibat termasuk sebahagian Perpindahan Kampung Lambak Kanan, sebahagian Kampung Tanah Jambu, Kampung Meragang dan sekitarnya. Walau bagaimanapun, tambah kenyataan, JKR akan sentiasa berusaha untuk melaksanakan pembekalan air kembali seperti biasa dan juga sedia berusaha menghantar tangki-tangki biru pada kawasan terjejas secepat mungkin.

JKR juga untuk memohon kerjasama semua pihak untuk berjimat cermat di dalam penggunaan air serta menghubungi Talian Darussalam 123 atau Live Chat 123 (8333123) bagi pembekalan air bersih melalui lori tangki atau sebarang aduan berhubung pembekalan air bersih.