Naim sudah lupa diri?

Apabila berada di kemuncak, cerita kurang enak mula bertebaran. Penyanyi dan pelakon, Naim Daniel, 23, tidak ketinggalan berdepan dengan isu yang dibangkitkan.

Penyanyi yang diangkat sebagai Juara Lagu, Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-34 pada Februari lalu didakwa lupa diri dan sukar dihubungi.

Malah, dia juga tidak memberikan sebarang respons apabila ada pihak yang ingin mengundang menjayakan sesi fotografi.

“Saya minta maaf jika ada sesiapa merasakan saya mula lupa diri. Minta jauh daripada sikap tak sedar diri. Saya bukannya ‘kekwat’, cuma terlalu sibuk hingga terlupa membalas pesanan dihantar. Ada masa, panggilan telefon ibu sendiri pun tidak sempat dijawab.

“Insya Allah, saya tiada masalah menjayakan sesi temuramah atau sesi fotografi. Lagi pun sudah lama saya tak berkesempatan menjayakannya kerana sibuk memberi tumpuan kepada dunia muzik.

Kerana terlalu sibuk dengan kerjaya seni, Naim didakwa sudah lupa diri dan sukar dihubungi, malah, dia juga tidak memberikan sebarang respons apabila ada pihak yang ingin mengundang menjayakan sesi fotografi. – Agensi

“Ada kala saya perasan pesanan dihantar dan memang berhasrat mahu membalasnya. Cuma, apabila sibuk dengan kerja, terlupa mahu membalas. Lagipun, apabila sudah terlalu sibuk, saya tak dapat memenuhi kehendak semua orang, apa lagi pesanan masuk pula terlalu banyak,” katanya.

Naim atau nama sebenarnya, Muhammad Naim Daniel Baharin berkata, dia tak pernah berasakan diri hebat atau kejayaan diraih menerusi AJL akan membutakan hatinya.

“Jika sudah lupa diri tentulah pelbagai cerita negatif keluar selepas AJL, tetapi alhamdulillah, saya masih berpijak di bumi. Seperti yang pernah dikatakan, saya berusaha keras untuk keluarga. Jadi, tak mungkin saya mahu menjejaskan periuk nasi.

“Sebagai seorang artis, kejayaan diraih ini bukan atas usaha saya seorang, sebaliknya jika tiada sokongan peminat dan media, tak mungkin saya peroleh kesempatan ini,” katanya.

Mengulas kemelut yang berlaku kepada lagu Sumpah, Naim berkata, setakat ini, kontroversi itu seperti terbang pada angin lalu.

“Tiada sebarang susulan selepas kekecohan tempoh hari. Saya enggan menoleh ke belakang, saya mahu ‘move on’. Mungkin apa yang berlaku adalah ujian untuk saya.

“Biasalah, Allah tidak akan memberikan kejayaan kepada hambanya tanpa mendatangkan dugaan terlebih dahulu. Saya anggap apa yang berlaku sebagai ujian untuk menguatkan saya,” katanya.

Naim berkata, dia tidak pernah mengetepikan kerjaya sebagai pelakon, malah sedang sibuk dengan penggambaran drama Lelaki Lingkungan Cinta terbitan Zeel Production yang bakal bersiaran di TV3. – Agensi