Wednesday, February 19, 2025
26.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Najib beri keterangan kali kedua

    PUTRAJAYA, 24 Mei — Bekas Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak telah selesai memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk kali kedua berhubung siasatan kes SRC International Sdn Bhd di ibu Pejabat SPRM, di sini, hari ini.

    Najib berkata pihak SPRM telah melakukan kerja dengan professional dan baik ketika beliau memberikan keterangan hampir tujuh jam berhubung perkara berkenaan.

    “Saya telah memberi keterangan pada hari kedua kepada SPRM, bermula dari pukul 10 pagi sehingga pukul 4:30 petang.

    “Masa untuk solat Zohor dan berehat selama 40 minit, saya telah jawab semua soalan dengan sebaik-baiknya. SPRM telah melakukan kerja-kerjanya dengan profesional, mereka kata sesi keterangan telah pun selesai,” katanya pada pemberita selepas memberi keterangan tersebut sebelum beredar pulang.

    Bekas perdana menteri Malaysia, Najib ketika bercakap dengan media selepas disoal-siasat oleh pihak berkuasa SPRM di Putrajaya. – AFP

    Anggota Parlimen Pekan itu yang memakai kemeja dan kot hitam, meninggalkan ibu pejabat SPRM pada jam 4:51 petang dengan menaiki kenderaan berwarna putih.

    Pagi tadi, Najib, yang tiba di perkarangan bangunan SPRM, diserbu pengamal media tempatan dan antarabangsa yang telah menunggu seawal 7 pagi tadi bagi membuat liputan kes berkenaan.

    Dua hari lepas, Najib hadir di ibu pejabat SPRM bagi memberi keterangan kali pertama.

    SRC International ialah anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB), sehingga ia diletakkan di bawah Kementerian Kewangan pada 2012. — Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda