Friday, March 21, 2025
23.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Najib didakwa hari ini

    KUALA LUMPUR, 7 Ogos – Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang berdepan tiga pertuduhan pecah amanah (CBT) dan satu pertuduhan salah guna kuasa membabitkan dana berjumlah RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd, dijangka didakwa di mahkamah esok atas tiga pertuduhan pengubahan wang haram.

    Menurut sumber daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Najib akan dibawa ke Mahkamah Sesyen di Kompleks Mahkamah Jalan Duta, untuk menghadapi tiga lagi pertuduhan membabitkan dana SRC mengikut Seksyen 4(1) Akta Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFA).

    “Beliau akan didakwa dengan tiga pertuduhan tambahan,” kata sumber itu.

    Seksyen itu memperuntukkan denda maksimum RM5 juta atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Kes itu akan didengar di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen 9 Hakim Azura Alwi.

    Pada 4 Julai lepas, Najib, 65, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di sini terhadap tiga pertuduhan CBT dan satu pertuduhan salah guna kuasa membabitkan dana SRC.

    Kes itu ditetapkan untuk pengurusan kes esok dihadapan Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

    Pihak mahkamah juga telah meletakkan penghadang dan menyediakan kaunter pendaftaran bagi memudahkan media membuat liputan prosiding sebutan kes dan pendakwaan terhadap Najib.

    Hasil semakan di mahkamah itu mendapati dua barisan tempat duduk disediakan untuk media dan masing-masing satu barisan untuk keluarga tertuduh dan anggota SPRM. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda