Najib diperintah bela diri kes 1MDB

KUALA LUMPUR, 11 NOV – Mahkamah Tinggi hari ini memerintahkan Datuk Seri Najib Tun Razak (gambar-AFP) membela diri terhadap semua tujuh pertuduhan menyeleweng sejumlah RM42 juta daripada dana SRC International Sdn Bhd.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali mengumumkan keputusan itu pada 11:34 pagi. Keputusan dibuat selepas hakim mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap bekas perdana menteri Najib, 66, bagi tiga pertuduhan pecah amanah jenayah (CBT), tiga pertuduhan penggubahan wang haram dan satu pertuduhan salah guna kuasa dana itu.

Anggota Parlimen Pekan itu dituduh melakukan semua kesalahan itu antara 17 Ogos 2011 dan 2 Mac 2015.

Najib yang merupakan perdana menteri keenam dari 2009 sehingga 2018 ialah ketua kerajaan yang pertama di Malaysia dihadapkan ke mahkamah. Najib yang berada dalam kandang tertuduh kelihatan tenang semasa hakim menyampaikan keputusan itu di dalam mahkamah yang penuh sesak.

Hakim Mohd Nazlan yang membuat keputusan itu pada akhir kes pendakwaan berkata, mahkamah mendapati elemen menggunakan kedudukan, tidak amanah dan pengubahan wang haram oleh tertuduh telah dibuktikan oleh pihak pendakwaan.

Hakim berkata keterangan yang dicatatkan dalam minit mesyuarat menunjukkan tertuduh hadir pada dua mesyuarat yang meluluskan jaminan kerajaan berjumlah RM4 bilion untuk SRC oleh Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP).

Jaminan kerajaan bagi jumlah RM4 bilion itu telah diluluskan dalam dua peringkat iaitu RM2 bilion setiap satu. “Pinjaman KWAP  itu tidak mungkin diluluskan tanpa jaminan kerajaan dan pinjaman itu disalurkan dengan kadar segera sekiranya tertuduh bukan seorang Perdana Menteri atau Menteri Kewangan pada ketika itu. Mahkamah menetapkan 3 dan 4 Disember, 9 hingga 12 Disember, dan 16 hingga 19 Disember untuk Najib membela diri. “Ini adalah untuk tertuduh menyangkal keterangan. Saya mendapati elemen menyalahgunakan kedudukannya, tidak amanah dan pengubahan wang haram telah dibuktikan, oleh itu, tertuduh diperintah untuk membela diri,” katanya. – Bernama