Sunday, January 26, 2025
23.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Najib pertahan kenyataan wang dalam akaun

    KUALA LUMPUR, 12 DIS – Datuk Seri Najib Tun Razak memaklumkan Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa adalah munasabah untuk beliau mempercayai bahawa wang yang diterima dalam akaun bank peribadi AmIslamik merupakan sumbangan daripada pemerintah Arab Saudi iaitu Almarhum Raja Abdullah bin Abdulaziz Al Saud.

    Najib, yang juga bekas Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, berkata di sebuah negara monarki seperti Arab Saudi di mana raja memegang kuasa tertinggi, adalah munasabah untuk beliau mempercayai bahawa Raja Abdullah telah mengarahkan Kementerian Kewangan Riyadh untuk menyalurkan dana bagi pihak baginda sebagai sumbangan.

    “Oleh itu, cadangan bahawa kesemua dana ini bukanlah datang secara langsung daripada akaun peribadi Raja Abdullah sebaliknya daripada Kementerian Kewangan Riyadh adalah mengarut kerana pada saya, ia mencerminkan niat dan kekuasaan Raja Abdullah sendiri.

    “Selain menerima dana daripada Kementerian Kewangan di Riyadh, saya juga menerima RM311,122,245.94 daripada cucunda lelaki Raja Abdullah iaitu Putera Faisal dan seorang lagi kerabat diraja, Putera Saud bin Abdulaziz Al Saud. Justeru itu, adalah munasabah untuk saya mempercayai bahawa Raja Abdullah telah mengarahkan cucunda baginda untuk menyalurkan sumbangan terbabit melalui akaun baginda,” katanya.

    Ini adalah hari kesembilan bekas Ahli Parlimen Pekan itu memberi keterangan membela diri terhadap empat pertuduhan menyalahgunakan kedudukan untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

    Ketika menjawab soalan, Wan Azwan Aiman Wan Fakhruddin, Najib berkata memandangkan wang itu berasal daripada akaun bersama kerabat diraja (Putera Faisal bin Turki bin Bandar Al Saud dan Putera Saud bin Abdulaziz Al Saud), adalah jelas bahawa beliau tidak mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa ia adalah daripada sumber yang tidak sah. – Bernama

    Datuk Seri Najib Tun Razak (kanan) hadir bagi perbicaraan kes 1Malaysia Development Berhad (1MBD) di Mahkamah Tinggi kelmarin. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda