ALOR SETAR, 18 Jun – Polis Kedah mengetahui yang Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor serta keluarga mereka bercuti di Langkawi, kata Ketua Polis Kedah, Datuk Zainal Abidin Kasim.
Beliau berkata pegawai keselamatan turut bersama-sama dengan bekas perdana menteri itu dan keluarganya dalam percutian berkenaan.
“Kita tahu beliau bercuti di Langkawi termasuk datang dengan keluarga beliau pun kita tahu. Kita juga dapat tahu beliau ada beriadah dengan bermain golf dan berjumpa kawan-kawan lama… orang UMNO termasuk bekas Menteri Besar Kedah (Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah).
“Saya ambil tahu semua ini, sebab saya kena tahu apa berlaku dalam kawasan (jagaan) saya (Kedah),” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Zainal Abidin mengulas dakwaan yang tular dalam media sosial kononnya Najib dan Rosmah ingin melarikan diri melalui Langkawi ke Myanmar sebelum ke China dan seterusnya ke negara mentua anak perempuan mereka di Almaty, Kazakhstan setelah mereka dilihat membawa 30 beg.
Bekas perdana menteri itu, yang masih dalam siasatan pihak berkuasa berhubung skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan beberapa kes berkaitan, dilarang ke luar negara sejak Barisan Nasional tewas dalam pilihan raya umum pada 9 Mei lepas. – Bernama