Najla Bouden dicalon PM Tunisia

TUNISIA, 30 SEPT – Presiden Kais Saied menamakan ahli geologi, Najla Bouden sebagai calon Perdana Menteri wanita pertama negara itu untuk membentuk kerajaan tetapi dengan pengaruh eksekutif terhad.

Najla, seorang pensyarah universiti dan ahli politik kurang dikenali, bakal menduduki jawatan itu selepas Kais memecat penyandang sebelum ini, Hichem Mechichi pada 25 Julai lalu.

Presiden turut menggantung parlimen, menarik kekebalan anggota parlimen dan mengawal badan kehakiman ketika negara itu berdepan konflik dua bulan lalu.

Situasi berlaku selepas kebuntuan politik negara itu sejak berbulan-bulan lalu dalam menghadapi krisis ekonomi yang mendesak dan meningkatnya kematian akibat COVID-19.

Walaupun warga Tunisia menyokong keputusannya dalam mendepani situasi politik itu, Kais turut digesa untuk menamakan pemimpin baharu kerajaan.

Canselor Jerman, Angela Merkel dalam kenyataan semalam turut menggesa Kais mengembalikan demokrasi berparlimen di Tunisia menerusi dialog bersama semua ahli politik.

Minggu lalu, Kais melanjutkan penggantungan parlimen dan memutuskan untuk memerintah Tunisia buat sementara waktu serta menangguhkan beberapa fasal dalam perlembagaan pasca revolusi negara itu. Pejabat Kais semalam menerbitkan video pertemuannya dengan Najla dan meminta wanita itu membentangkan senarai kabinet dalam beberapa jam atau hari akan datang.

Presiden yang akan mengetuai kabinet, berulang kali menekankan pencalonan Najla sebagai detik bersejarah serta satu penghormatan bagi negara dan wanita Tunisia. Kais yang berucap dalam video itu, mengatakan misi utama Najla adalah untuk menghapuskan korupsi dan gangguan yang berleluasa di banyak institusi negara itu. – AFP

Gambar serahan pejabat presiden Tunisia menunjukkan perdana menteri baharu Najla Bouden Ramadhane di Tunis. – AP