Najwan sahut cabaran Thai

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 SEPT – Seorang Atlet Para Badminton Negara Brunei Darussalam, Mohd Najwan bin Haji Umar Ali hari ini berlepas meninggalkan negara bagi menyertai Kejohanan Antarabangsa Para Badminton Thailand 2019 yang dijadualkan berlangsung pada 16 hingga 21 September ini.

Mengiringi Mohd Najwan ke kejohanan itu ialah jurulatihnya, Mohd Zuno Kartono bin Haji Ali, yang juga merupakan seorang BWF Para Badminton Tutor Coach.

Hadir bagi mengucapkan selamat belayar di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei, Berakas pagi tadi ialah Presiden Para Committee Brunei Darussalam, Shaikh Mahmud bin Shaikh Haji Ibrahim dan Timbalan Presiden Persatuan Badminton Kebangsaan Brunei Darussalam, Abdul Gapar bin Obey.

Sebagai sokongan dan motivasi kepada Mohd Najwan agar memberikan saingan terbaik di kejohanan itu nanti, Abdul Gapar berkesudian menyerahkan sumbangan berupa kelengkapan atlet daripada Sunrise Yonex Singapore.

Sementara itu, Mohd Zuno akan turut terlibat dalam BWF Para Coaching Course dan Para Training Camp pada 11 hingga 13 September ini bersempena Kejohanan Para Badminton Thailand 2019 di mana para pemain di bawah setiap jurulatih juga berpeluang mengikuti kem latihan tersebut, sekali gus menawarkan peluang berlatih bersama jurulatih dan atlet antarabangsa lain.

Mohd Najwan dan Mohd Zuno berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei sebelum berlepas ke Thailand.