Nama Fadlan panas gosip cinta tiga segi

Figura kacak bernama Fadlan Hazim, 29, tidak perlu diperkenalkan kepada pencinta drama tempatan. Bersilih ganti wajahnya menghiasi kaca televisyen (TV) menemani penonton pada slot tayangan petang mahupun malam.

Kini, drama lakonannya berlumba-lumba ditayangkan daripada drama Shah Alam 40000 hingga Kekasih Hati Mr Bodyguard.

Jadi, tidak hairan nama Fadlan boleh membolosi empat pencalonan awal bagi kategori utama, Pelakon TV Lelaki Popular Xiaomi dan dua kategori online iaitu Watak Antagonis Popular dan dua pencalonan menerusi Gandingan Serasi Drama Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-34.

Namanya mungkin tidak segah Budak Baru Nak Up (BBNU), namun Fadlan tetap berjaya mengekalkan momentum, malah menjadi pilihan ramai produser.

Namun, nama Fadlan menjadi bualan apabila timbul gosip mengatakan hubungannya dengan gadis berbangsa Tiong Hua, Julie Ann Kang yang terjalin sejak di bangku sekolah sudah berakhir.

Fadlan berpendapat Anna pilihan terbaik antara heroin yang pernah bergandingan dengannya. – Agensi

Dan, nama pelakon baharu, Anna Jobling pula dikaitkan menjalinkan hubungan istimewa disebabkan mereka bergandingan menerusi drama Shah Alam 40000.

Mengulas status hubungannya dan Julie, sejauh mana kebenaran Anna menjadi orang ketiga, Fadlan berkata, dia minta maaf tidak boleh memberikan komen berunsur peribadi.

“Saya lebih selesa jika berkongsi soal kerjaya dan projek terbaharu. Segala berkaitan soal peribadi juga tidak akan dikongsikan dalam laman sosial lagi.

“Jujurnya, saya dan Julie sudah bersahabat sejak sekolah lagi, jika dihitung sudah 16 tahun lalu.

“Jadi, kami akan kekal bersahabat sampai bila-bila. Lagi pun, keluarga kami saling mengenali,” katanya kepada BH Online.

Mengenai hubungan dengan Anna, Fadlan juga enggan mengulasnya.

“Soal ini juga saya minta maaf, saya tidak boleh menjawabnya. Cuma, apa yang boleh saya kongsi, Anna seorang pendatang baharu yang sangat serius dengan kerjaya.

“Anna tidak seperti pelakon baharu lain yang hanya ingin mengejar glamor dan keluar TV. Sebaliknya, Anna memang ingin berjaya. Dia memiliki sikap ingin tahu dan berjaya. Saya memang puji sikap Anna.

“Sehingga kini, kami masih rapat. Jujurnya, bekerjasama dengan Anna menjadi pilihan terbaik antara heroin yang pernah bergandingan dengan saya, selama ini,” katanya.

Bekas anggota kumpulan VIP itu berkata, dia lega apabila kebenaran meneruskan aktiviti penggambaran diberikan.

“Jujurnya, saya memang tiada sumber pendapatan apabila hampir lima bulan tidak bekerja.

“Kini, saya sedang menyiapkan drama Kekasih Hati Mr Bodyguard yang siarannya tergantung disebabkan Fasa Satu Pelan Pemulihan Negara (PPN).

“Alhamdulillah, tawaran lakonan sentiasa tidak putus sama ada watak utama atau sekadar pembantu,” katanya. – Agensi