Nama Wanna kini melonjak sebagai pelakon

Perjalanan kerjaya seni bintang cantik, Wanna Ali, berusia 24 tahun, bermula dengan bidang nyanyian apabila single sulungnya dikeluarkan dan pantas merebut perhatian.

Malah, populariti lagu Lepaskan meletakkan Wanna sebagai sebahagian daripada alumni Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) apabila namanya tersenarai bagi pencalonan awal kategori Penyanyi Wanita Popular.

Bagaimanapun, semakin lama Wanna atau nama sebenarnya, Nur Syazwana Mohd Ali beralih fokus kepada bidang lakonan.

Ternyata, perubahan yang dilakukan membuahkan hasil apabila namanya kembali membolosi pencalonan awal ABPBH 34. Lebih menggembirakan, Wanna menembusi empat kategori iaitu Pelakon Filem Wanita Popular, Pelakon TV Wanita Popular, Gandingan Serasi Filem Popular dan Gandingan Serasi Drama Popular.

Mengakui bersyukur dengan pencalonan yang tidak diduga, Wanna tidak meletakkan harapan tinggi kerana menyedari dirinya tidak sepopular calon lain, tambahan pengalaman masih ‘hijau’ dalam bidang lakonan.

Wanna menganggap dirinya tidak popular, biasa-biasa sahaja. – Agensi

“Sebenarnya, saya amat terkejut nama membolosi empat kategori pencalonan ABPBH 34. Bukan satu atau dua, malah empat pencalonan.

“Itu sudah cukup untuk saya bersyukur, ia secara tidak langsung membuktikan kewujudan saya dalam bidang lakonan semakin diterima. Ini kerana saya terlebih dahulu dikenali sebagai sebagai penyanyi.

“Sejujurnya, saya tidak pernah merasakan diri saya popular. Saya masih Wanna Ali yang dahulu, biasa-biasa sahaja dan masih jauh perjalanan yang perlu dilalui untuk membina nama.

“Lagipun, calon lain hebat-hebat belaka, jadi saya tidak meletakkan harapan mahu menang,” ujarnya merendah diri.

Mengulas reaksi peminat terhadap pencalonannya, pelakon yang mencipta populariti menerusi drama Angkara Cinta itu memaklumkan, peminat antara yang teruja dengan berita itu.

“Saya menerima banyak mesej di laman Instagram mengatakan yang mereka mengundi saya dan berharap saya dapat melangkah ke peringkat Top 5.

“Apabila mendapat mesej sedemikian, perasaan saya terkejut campur terharu kerana tidak sangka sampai begitu sekali sokongan diberikan terhadap saya.

“Hanya ucapan terima kasih mampu diberikan atas sokongan yang diberikan. Sekurang-kurangnya, ia menjadi pembakar semangat untuk saya terus melakar kerja terbaik dalam kerjaya seni,” luah anak kepada penerbit filem, Datuk Ayu Puteh ini.

Meskipun enggan meletakkan harapan tinggi, namun ketika ditanya trofi manakah yang menjadi idaman jika ada rezeki memperoleh kemenangan, Wanna berkata, dia mahukan kategori Gandingan Serasi Drama Popular menjadi taruhan.

“Jika ada rezeki, saya inginkan kemenangan dalam kategori Gandingan Serasi Drama Popular. Ini berdasarkan sambutan diberikan penonton terhadap drama Angkara Cinta, gandingan saya bersama Hun Haqeem.

“Ramai suka melihat keserasian kami membawakan Adira dan Luqman. Disebabkan sambutan menggalakkan, stesen televisyen menyambung penggambaran drama menjadi 115 episod,” ujarnya. – Agensi