Wednesday, November 30, 2022
29.4 C
Brunei

-

Nampak cantik, namun ditangkap guna sianida

LES, INDONESIA – Selepas menyelam ke dasar laut di luar pantai utara Bali, Indonesia, Made Partiana terumbang-ambing di atas batu karang, menahan nafas dan mengamati untuk mengesan sebarang pergerakan.

Beberapa jam kemudian, dengan rasa keletihan, dia kembali ke pantai berbatu-batan, menarik beg plastik yang berisi dengan hasil buruan yang cantik: ikan tropika dalam pelbagai warna dan bentuk.

Berjuta-juta ikan air masin ditangkap di Indonesia dan negara lain setiap tahun untuk mengisi akuarium di bilik tamu, bilik menunggu dan restoran di seluruh dunia.

“Sungguh seronok hanya dengan memerhati telatah pelbagai jenis ikan berkenaan,” kata Jack Siravo, penggemar ikan Rhode Island.

Namun perjalanan dari tempat seperti Bali ke Rhode Island amat berisiko untuk ikan dan terumbu asal ikan tersebut. Sesetengahnya ditangkap menggunakan sianida untuk memegunkannya. Kebanyakan mati dalam perjalanan.

Made Tatiana menggunakan jaring untuk menangkap ikan akuarium di pantai utara Bali, Indonesia. – AP

Walaupun ditangkap dengan hati-hati, oleh orang seperti Partiana, pakar berkata permintaan global untuk ikan tersebut juga menyumbang kepada hakisan ekosistem batu karang.

Usaha telah dilaksanakan untuk mengurangkan amalan bersifat membinasakan itu, seperti penggunaan sianida. Namun perniagaan itu adalah sukar dikawal dan dikesan kerana ia membabitkan nelayan kecil-kecilan di kampung dan orang tengah, gudang eksport, hab perniagaan antarabangsa dan kedai haiwan peliharaan di AS, China, Eropah dan negara lain.

“Tidak adanya penguatkuasaan undang-undang, tiada pengurusan, tiada pengumpulan data,” ujar Gayatri Reksodihardjo-Lilley, pengasas LINI, pertubuhan untuk pemuliharaan dan pengurusan sumber marin pantai di Bali.

Ia menyebabkan beberapa penggemar tidak tahu-menahu tentang apa yang berlaku.

“Pengguna tidak tahu di mana ikan mereka berasal, dan mereka tidak tahu bagaimana ia diambil,” kata Andrew Rhyne, profesor biologi marin di Universiti Roger Williams di Rhode Island.

Kebanyakan spesies ikan air masin hiasan ditangkap di habitat asli disebabkan aktiviti membiak ikan yang ditangkap boleh menelan kos tinggi, sukar dan mustahil dilaksanakan.

Hampir 3 juta rumah di AS mempunyai ikan air masin sebagai haiwan peliharaan, menurut tinjauan Persatuan Produk Haiwan Peliharaan Amerika 2021-2022. Kira-kira 7.6 juta ikan air masin diimport ke AS setiap tahun.

Akuarium air tawar adalah lebih lazim disebabkan ikan air tawar pada umumnya lebih murah dan lebih senang untuk dibiak dan dijaga.

Selama beberapa dekad, teknik penangkapan ikan biasa telah membabitkan sianida, dengan kesan teruk ke atas ikan dan ekosistem laut. Nelayan menghancurkan pelet dalam botol berisi air. Sianida cair membentuk campuran beracun yang dipancut oleh nelayan pada terumbu batu karang, di mana ikan biasanya bersembunyi. Ikan berkenaan akan terpegun seketika, membolehkannya ditangkap dari batu karang.

Kebanyakan ikan mati dalam perjalanan, lemas akibat sianida – yang bermakna lebih banyak ikan perlu ditangkap demi memenuhi permintaan. Bahan kimia itu merosakkan batu karang hidup dan menjadikannya sukar untuk karang baharu membesar.

Penangkapan ikan sianida telah diharamkan di negara seperti Indonesia dan Filipina tetapi penguatkuasaan undang-undang masih sukar, dan pakar berkata amalan tersebut masih dilakukan secara berleluasa.

Sebahagian daripada masalah yang dihadapi adalah geografi, jelas Reksodihardjo-Lilley. Di gugusan kepulauan Indonesia, terdapat garis pinggir seluas 54,720 kilometer di 17,500 pulau. Ia sekali gus menyukarkan pemantauan langkah pertama rantaian bekalan.

Satu lagi halangan yang timbul adalah kadar pergerakan ikan yang pantas di antara lokasi, menjadikannya sukar untuk menjejak asal-usul haiwan berkenaan.

Di gudang eksport ikan di Denpasar, Bali, ribuan ikan boleh dihantar sehari dalam peti pendingin Styrofoam putih yang dipenuhi dengan beg plastik ikan dari seluruh gugusan kepulauan. Ikan tersebut dengan segera dikeluarkan, diasing-asingkan ke dalam tangki atau beg plastik baharu dan diberikan air laut baharu.

Beberapa ikan akan kekal dalam tangki kecil segi empat tepat dalam gudang selama beberapa minggu, sementara yang lainnya dihantar keluar, memenuhi tempahan dari AS, Eropah dan tempat lain. Sebaik sahaja ikan diterbangkan dari Indonesia ke AS, ia akan diperiksa oleh Perkhidmatan Ikan dan Hidupan Liar, yang merujuk silang hantaran dengan borang deklarasi kastam.

Mana-mana ikan yang ditangkap menggunakan sianida di sebuah negara di mana ia dilarang akan dianggap haram untuk diimport atau dijual di AS, disebabkan undang-undang Akta Lacey. Namun tiada ujian yang wujud untuk memberikan keputusan tepat mengenai sama ada ikan telah ditangkap dengan sianida, kata Rhyne, pakar biologi marin Roger Williams.

“Hakikatnya adalah Akta Lacey tidak digunakan kerana pada umumnya tidak adanya catatan rekod atau cara untuk menguatkuasakannya,” ujar Rhyne.

Tanpa undang-undang negara, kumpulan pemuliharaan dan nelayan tempatan telah berusaha mengurangkan penangkapan ikan menggunakan sianida di tempat seperti Les, bandar perikanan akuarium air masin di utara Bali. – AP

- Advertisment -

Disyorkan Untuk Anda

Jutaan rakyat Bangladesh hilang tempat tinggal

DHAKA, 29 NOV – Berjuta-juta orang di Bangladesh hilang tempat tinggal dan mata pencarian akibat kesan perubahan iklim tahun ini hingga menyebabkan penghijrahan dalam negeri...

Polis kawal bandar utama China

- Advertisment -