Nana yakin dengan lagu baharu

Jatuh cinta pada versi asal lagu Angkara, penyanyi Siti Nordiana meyakinkan komposer, Sharon Paul untuk tidak menggunakan versi alternatif single berkenaan ketika proses rakaman.

Sudah lama ‘diintai’ Sharon yang juga komposer lagu hit Sampai Bila dendangan Misha Omar, Siti Nordiana atau mesra disapa Nana, bersyukur dapat merealisasikan projek single itu yang dilancarkan di YouTube.

“Sebenarnya, dari tahun lalu, kami berunding mengenai lagu ini. Disember lalu, saya masuk studio rakaman… Memang lagu ini lama diperam.

“Kali pertama, versi yang diperdengarkan adalah demo asal. Kemudian, Sharon membuat sedikit perubahan untuk versi rakaman. Selepas mendengarnya, saya lebih suka versi asal

“Lantas kami membuat keputusan untuk merakamkan versi asal Angkara,” katanya kepada media.

Siti Nordiana bekerjasama dengan Fedtri Yahya bagi menghasilkan lirik lagu Angkara. – Agensi

Apa yang menarik, Siti Nordiana bekerjasama dengan Fedtri Yahya bagi menghasilkan lirik lagu Angkara.

Ditanya mengenai kerjasama dengan Sharon, Nana yang membintangi drama Dia Semanis Honey seronok bekerja dengan komposer terbabit.

“Ketika mula diperdengarkan dengan lagu Angkara, saya terus jatuh cinta. Disebabkan itu, saya ambil keputusan merakamkan lagu ini. Apatah lagi, ketika itu, saya sedang mencari material yang sesuai untuk single baharu,” katanya.

Siti Nordiana berkata, pihaknya mengambil masa untuk melancarkan single Angkara disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan kerajaan.

Video muzik rasmi single Angkara boleh terus ditonton di saluran YouTube Seventeen Eleven Music. Lagu ini boleh distrim di semua platform digital muzik seperti iTunes, JOOX, Spotify dan banyak lagi. – Agensi