Nangka buah eksotik ‘seribu khasiat’

THRISSUR, INDIA – Berwarna hijau, tercacak-cacak dan dengan bau kuat manis, buah nangka yang sangat besar telah berubah daripada satu gangguan di belakang rumah penduduk di pantai selatan India kepada kesayangan orang yang makan sayur dan buah-buahan dan vegetarian di negara Barat.

Sebagai sebahagian daripada diet penduduk Asia Selatan berabad-abad lamanya, buah nangka boleh didapati dengan banyak sehingga bertan-tan terbuang setiap tahun.

Namun sekarang di India, pengeluar terbesar buah nangka di dunia, sedang menggunakan kesempatan ke atas kepopularannya yang semakin meningkat sebagai alternatif daging ‘makanan seribu khasiat’ – disarankan oleh cef dari San Francisco ke London dan Delhi disebabkan teksturnya seperti daging apabila belum masak.

“Terdapat banyak permintaan dari luar negara. Pada peringkat antarabangsa, minat dalam buah nangka telah meningkat berlipat ganda,” beritahu Varghese Tharakkan kepada AFP dari dusunnya di daerah Kerala, Thrissur.

Buah itu, yang mempunyai berat lima kilogram secara purata, mempunyai isi kuning dengan tekstur lekit-lekit apabila masak dan dimakan begitu sahaja, atau digunakan untuk membuat kek, jus, aiskrim dan kerepek.

Varghese Tharakkan menyediakan nangka yang masak di sebuah dusun di ladang buah nangka Ayur di Thrissur, selatan Kerala. – AFP
Pekerja di ladang nangka Ayur menunjukkan masakan buah nangka di Thrissur di selatan negeri Kerala. – AFP

Pengarah firma Jackfruit 360, James Joseph bercakap semasa temu bual dengan AFP di Kalady, 46km dari Thrissur di selatan Kerala. – AFP

Apabila belum masak, ia ditambah kepada kari ataupun digoreng, dicincang atau dimasak secara saute. Di negara Barat, buah nangka yang telah dimayang telah menjadi alternatif popular kepada serunding daging dan ia malah digunakan sebagai ‘topping’ atau hiasan atas piza.

“Orang sukakannya,” jelas Anu Bhambri, yang memiliki rangkaian restoran di Amerika Syarikat dan India.

“Taco buah nangka telah menjadi amat popular di setiap lokasi. Kutlet nangka, tempahan untuk setiap meja, ia adalah salah satu kesukaan saya!”

James Joseph meletak jawatan sebagai pengarah di Microsoft selepas mendapati minat negara Barat dalam buah nangka ‘semakin meningkat dijadikan sebagai alternatif vegan kepada daging.’

Krisis pandemik COVID-19, menurut Joseph, telah mewujudkan dua peningkatan dalam minat pengguna.

“Koronavirus menimbulkan kebimbangan orang terhadap daging ayam dan mereka beralih kepada buah nangka. Di Kerala, perintah berkurung mengakibatkan pertambahan dalam permintaan terhadap buah nangka hijau yang matang dan biji disebabkan kekurangan sayur-sayuran berpunca daripada sekatan sempadan,” jelas beliau.

Minat global dalam diet vegetarian telah pun meningkat sebelum pandemik, didorong oleh gerakan seperti Bebas Daging Isnin dan Veganuari, dan bersamanya perniagaan ‘daging alternatif.’

Kebimbangan mengenai kesihatan dan alam sekitar – laporan PBB 2019 mencadangkan pemakanan lebih banyak diet berasaskan tumbuhan mungkin membantu mengurangkan perubahan iklim – bermakna pengguna sedang beralih kepada jenama seperti Impossible dan Beyond Meat untuk replika berasaskan tumbuhan untuk ayam dan daging.

Namun mereka juga menggunakan pengganti yang sudah lama popular di Asia seperti tauhu dan tempe yang diperbuat daripada kacang soya, dan bahan gandum seitan, serta buah nangka.

Keadaan melambung ini bermakna semakin banyak dusun nangka telah muncul pesat bagai cendawan tumbuh selepas hujan di negeri pantai.

“Anda merasanya keras seperti daging – itulah yang menjadikannya semakin popular dan seperti daging ia menyerap rempah-ratus,” komen Joseph.

Firmanya menjual tepung nangka yang boleh dicampurkan dengan atau digunakan sebagai alternatif kepada tepung gandum dan beras untuk membuat segala-galanya daripada pati burger kepada makanan klasik tempatan seperti idli.

Joseph bekerja dengan Perkhidmatan Penyelidikan Indeks Glycemic Universiti untuk membuktikan sebarang manfaat atau khasiat kesihatan.

“Apabila kami menjalankan analisis nutrisi, kami mendapati buah nangka sebagai makanan adalah lebih baik daripada nasi dan roti untuk individu biasa yang ingin mengawal gula dalam darahnya,” tambah beliau.

India mempunyai salah satu kadar diabetes tertinggi di dunia dan dijangka mencecah kira-kira 100 juta kes menjelang tahun 2030, menurut satu kajian oleh The Lancet.

Tatkala pemanasan global menimbulkan huru-hara ke atas pertanian, penyelidik makanan berkata buah nangka mungkin muncul sebagai tanaman asas berkhasiat kerana ia tahan kemarau dan tidak memerlukan banyak penyelenggaraan.

Tharakkan tidak menoleh ke belakang sejak beliau beralih daripada menanam pokok getah kepada buah nangka di ladangnya, dan mempunyai satu jenis yang boleh ditanamnya sepanjang tahun.

“Apabila saya menebang pokok getah, semua orang sangka saya gila. Namun orang yang sama kini datang dan bertanyakan rahsia kejayaan saya,” katanya sambil tersenyum.

Di Tamil Nadu dan Kerala sahaja, permintaan untuk nangka sekarang adalah 100 metrik tan setiap hari semasa musim kemuncak dan menghasilkan hasil pulangan berjumlah AS$19.8 juta setahun, kata profesor ekonomi S. Rajendran dari Institut Luar Bandar Gandhigram.

Namun timbulnya persaingan yang meningkat dari negara-negara seperti Bangladesh dan Thailand.

Kepopularan nangka yang baru ditemui merupakan satu perubahan besar untuk tanaman yang sementara digunakan dalam masakan tempatan, telah lama dianggap sebagai buah orang miskin.

Setiap pokok boleh menghasilkan 150-250 buah satu musim.

Di Kerala, di mana ia dipercayai berasal, memperoleh namanya daripada perkataan tempatan ‘chakka,’ Tharakkan berkata bukan sesuatu yang luar biasa untuk melihat notis di taman persendirian meminta orang mengambil buah secara percuma disebabkan ia boleh didapati dengan banyak, dan akan reput dan menarik lalat.

Dan sementara penanam nangka India – seperti sektor pertanian yang lebih luas – telah terjejas apabila perintah berkurung koronavirus di seluruh negara menyebabkan kekurangan pekerja dan pengangkutan, permintaan antarabangsa tidak menunjukkan tanda-tanda berkurangan.

Sujan Sarkar, cef eksekutif restoran Bhambri yang berpangkalan di Palo Alto, percaya pemakan daging sudah menjadi pemakan buah nangka.

Beliau menambah: “Bukan sahaja vegetarian atau vegan, malah pemakan daging, mereka sukakannya.” – AFP