Nanjing tuan rumah perlawanan kelayakan bola sepak wanita Olimpik

BEIJING, 23 JAN – Perlawanan kelayakan bola sepak wanita Olimpik 2020 yang sepatutnya berlangsung di Wuhan bulan depan ditukar ke Nanjing, pengumuman Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) kelmarin.

Ia berikutan kebimbangan terhadap penularan wabak koronavirus baharu. Dengan virus 2019-nCoV yang tersebar merentasi beberapa wilayah China dan 571 kes jangkitan dilaporkan, pihak berkuasa China menggesa orang ramai untuk tidak pergi atau keluar dari Wuhan, lokasi virus itu pertama kali dikesan pada akhir Disember.

Bandar di tengah China itu dijadual menjadi tuan rumah semua perlawanan dalam Kumpulan B kelayakan bola sepak wanita Olimpik 2020, dengan China, Australia, China Taipei dan Thailand diundi dalam kumpulan itu. – Bernama