Naomi Osaka tarik diri sebagai tanda protes

NEW YORK, 27 OGOS – Pemain tenis Jepun, Naomi Osaka telah menarik diri dari perlawanan separuh akhir Terbuka Western & Southern hari ini di New York sebagai tanda protes ke atas insiden tembak anggota polis terhadap seorang lelaki berkulit hitam yang tidak bersenjata di Wisconsin.

Osaka, juara Grand Slam sebanyak dua kali, sepatutnya berdepan dengan pemain Belgium, Elise Mertens di gelembung kuarantin yang sama dengan Terbuka AS yang akan bermula pada Isnin nanti.

“Sebelum saya menjadi seorang atlet, saya seorang wanita berkulit hitam dan sebagai wanita berkulit hitam, saya rasa walaupun terdapat lebih banyak perkara yang lebih penting yang memerlukan perhatian segera daripada menyaksikan saya bermain tenis,” kata Osaka menerusi kenyataan Twitter.

“Saya tidak menjangkakan perubahan drastik disebabkan saya tidak bermain, tetapi jika saya menjadi pencetus perbualan dalam sebilangan besar sukan berkulit putih, saya akan anggap ia adalah satu langkah yang betul”.

Tindakannya dibuat selepas seorang lelaki berketurunan “Afrika-Amerika Syarikat, Jacob Blake telah ditembak pada Ahad lalu di Kenosha, Wisconsin dan pasukan NBA Milwaukee Bucks telah memboikot perlawanan playoff mereka kelmarin.

Naomi Osaka telah menarik diri dari Terbuka Western & Southern sebagai tanda protes ke atas insiden perkauman di Wisconsin. – AFP

“Melihat pembunuhan berterusan golongan berkulit hitam di tangan anggota polis sejujurnya membuatkan saya rasa sangat sedih,” kata Osaka.

“Saya letih untuk menerima tanda pagar (hashtag) hampir setiap hari dan saya sangat letih dengan perbualan yang sama berulang kali.

“Bilakah semua ini akan berakhir?”

Blake telah ditembak sebanyak tujuh kali di bahagian belakang oleh anggota polis ketika dia cuba untuk memasuki kereta yang ada tiga orang kanak-kanak.”

Protes tercetus di Kenosha sejak kejadian tersebut, dengan dua orang terbunuh selepas seorang lelaki melepaskan tembakan ke arah penunjuk perasaan dengan serangan senapang pada Selasa lalu.

Isu keganasan pihak polis dan perkauman meningkat pada Mei lalu setelah kematian George Floyd, seorang lelaki berkulit hitam tidak bersenjata, yang maut selepas polis Minneapolis menahannya dengan meletakkan lutut mereka di bahagian leher Floyd dalam tempoh lebih daripada lapan minit. – AFP