Naomi tidak menyesal

YOKOHAMA, Jepun, 13 Sept – Naomi Osaka dari Jepun menolak untuk mengkritik Serena Williams selepas kejayaan bersejarah dalam Terbuka AS itu dibayangi oleh isu ketidakpuasan pemain Amerika terhadap pengadil.

Pemain berusia 20 tahun itu merasa sebak dan menangis selepas menewaskan idolanya 6-2, 6-4 untuk menjadi juara perseorangan Grand Slam Jepun pertama di New York hujung minggu lalu. Legenda tenis Jepun Kimiko Date memberitahu AFP bahawa dia ‘sakit hati’ melihat kesukaran yang dihadapi Osaka yang sepatutnya meraikan kejayaannya selepas melakarkan sejarah baharu. Tetapi selepas kembali ke Jepun hari ini, Osaka menegaskan tidak ada perasaan benci terhadap Williams berikutan dengan tindakan Wiliams yang meluahkan perasaan marahnya terhadap pengadil berkaitan dengan kod permainan.

“Bagi saya, saya tidak berasa sedih kerana saya tidak tahu apa yang saya rasakan,” kata Osaka, yang telah mendaki kedudukan ke-7 dari tangga ke-19 dalam ranking dunia.

“Saya tidak fikir saya merasa sedih kerana tidak ada pengalaman untuk saya bermain dalam mana-mana final Grand Slam lainnya,” katanya.

Naomi semasa menghadiri sidang akhbar di sebuah hotel di Yokohama, kelmarin. Osaka dari Jepun menolak untuk mengkritik Serena Williams selepas kejayaan Terbuka AS bersejarah itu dibayangi oleh isu ketidakpuasan pemain Amerika terhadap pengadil dalam perlawanan itu. – AFP

“Saya fikir saya tidak sepatutnya menyesal. Secara keseluruhan, saya berasa sangat gembira dan tahu saya banyak mencatatkan kemajuan.”

Osaka, yang bertanding pada Terbuka Pan Pacific di Tokyo pada minggu depan, juga mendedahkan rancangannya untuk mendaki ke kedudukan lima teratas tahun ini dan memenangi pingat emas di Olimpik Tokyo 2020.

“Saya fikir tahun ini matlamat terdekat saya adalah untuk ke Singapura,” kata Osaka selepas meletakkan dirinya teguh dalam pertarungan untuk menjangkau Final WTA yang berakhir pada musim.

“Saya mahu melakukan yang terbaik di Terbuka Pan Pacific dan mendaki kedudukan kelima, tetapi saya tidak meletakkan tekanan pada diri saya,” katanya.