MILAN, 29 NOV – Napoli memperingati ulang tahun kematian Diego Maradona dengan membelasah Lazio 4-0 dan mendahului Serie A dengan kelebihan tiga mata.
Presiden Persekutuan Bola sepak Antarabangsa (FIFA) Gianni Infantino adalah antara mereka yang hadir di Naples untuk meraikan salah seorang anak angkat bandar itu, Maradona, yang membantu Napoli memenangi dua gelaran liga dan Piala UEFA pada 1989.
Peminat melaungkan nama Maradona, yang meninggal dunia setahun lalu, ketika patungnya diarak mengelilingi padang sebelum perlawanan.
Penghormatan daripada legenda bola sepak Brazil, Pele turut disiarkan di skrin gergasi stadium.
Napoli memanfaatkan kekalahan AC Milan 3-1 kepada Sassuolo untuk menguasai puncak Serie A dengan persembahan menakjubkan.
“Kami memberikan persembahan terbaik kami. Kini perkara paling penting adalah terus bermain, kerana kami perlu mengulangi corak permainan seperti ini.
“Cara kami bermain hari ini cukup sempurna,” kata Dries Mertens yang meledak dua gol dalam perlawanan itu.
Skuad kendalian Luciano Spalleti mendahului Lazio dengan tiga gol di babak pertama. Piotr Zielinski membuka jaringan pada minit ketujuh sebelum dua gol Mertens pada minit ke-10 dan 29.
Fabian Ruiz melengkapkan kemenangan pada minit ke-85 dengan rembatan jarak jauh. – AFP
