Napoli, Florentina sama kuat

MILAN, 10 Feb – Napoli mensia-siakan peluang untuk merapatkan mata dengan pendahulu Serie A, Juventus yang kini berada lapan mata di depan, selepas skuad kendalian Carlo Ancelotti itu terikat tanpa jaringan di Fiorentina.

Penjaga gol Fiorentina, Alban Lafont beraksi cemerlang menyelamatkan cubaan bertubi-tubi Napoli terutama daripada Piotr Zielinski dan Dries Mertens, sekali gus menyaksikan Napoli mengharungi tiga perlawanan berturut-turut di tempat lawan tanpa sebarang jaringan.

“Kami kehilangan dua mata yang seharusnya menjadi milik kami berdasarkan corak serangan dari awal hingga tamat permainan,” kata Ancelotti.

“Daripada beberapa sudut, ia adalah persembahan yang sempurna, tetapi kami tidak cukup tajam di depan gawang dan terpaksa akur dengan hanya satu mata.”

Florentina mencatat keputusan seri ke-11 dalam 23 perlawanan musim ini. Peluang terbaik mereka hadir selepas rehat menerusi pemain tengah Perancis Jordan Veretout namun dinafikan oleh penjaga gol Napoli, Alex Meret.

Inter Milan yang berada di tangga ketiga, kembali mencatat kemenangan dengan Lautaro Martinez yang masuk sebagai pemain gantian menjaringkan gol tunggal perlawanan pada minit ke-79 untuk kemenangan 1-0 di Parma. – AFP