BELGRADE, 19 Sept – Bekas juara Piala Eropah, Red Star Belgrade mengikat skuad kendalian Carlo Ancelotti, Napoli seri tanpa jaringan dalam kemunculan pertama pasukan itu dalam saingan peringkat kumpulan Liga Juara-juara, semalam.
Lorenzo Insigne menggegarkan palang gol pada separuh masa pertama buat Napoli, manakala pertahanan Red Star Milan Rodic menafikan percubaan Jose Callejon dalam pertemuan Kumpulan C itu.
Penjaga gol tuan rumah, Milan Borjan turut memperlihatkan kemampuannya untuk menghalang percubaan pemain kebangsaan Poland, Arkadiusz Milik tatkala percubaan lewat Red Star dihasilkan menerusi Richmond Boakye.
“Kami tidak melakukan banyak kesilapan, kami mengawal perlawanan tetapi kurang dari sudut penyudah,” kata Ancelotti, yang mengambil alih Napoli pada musim yang lalu.
“Sukar untuk bermain menentang pertahanan seperti Red Star. Penyerang kami beberapa kali keseorangan di depan penjaga gol, namun kami tidak memiliki sebarang tuah dan fikir kami masih mampu menang.”
Kali terakhir, Red Star muncul dalam saingan kelab perdana Eropah pada 1991-1992, satu musim selepas menewaskan Marseille semasa perlawanan akhir menerusi penentuan penalti di Bari untuk menjulang trofi kemenangan.
Skuad Itali itu menurunkan Marek Hamsik dan Dries Mertens pada separuh masa kedua perlawanan, namun Napoli gagal mencari sentuhannya untuk menewaskan Red Star yang merekodkan lapan kemenangan daripada 10 perlawanan pada musim ini. – AFP