Napoli juara Piala Itali

ROM, 18 JUN – Gennaro Gattuso memuji pasukannya setelah dia menjulang trofi pertamanya ketika Napoli berjaya mengalahkan Juventus 4-2 menerusi penentuan sepakan penalti untuk memenangi Piala Itali kali keenam mereka semalam.

Keputusan berakhir seri 0-0 di Stadium Olimpico yang kosong di Rom.

Paulo Dybala dan Danilo masing-masing gagal menjaringkan sepakan penalti mereka untuk mencatatkan 13 kali juara Piala Itali buat Juventus dengan Arkadiusz Milik mencetak gol kemenangan buat Napoli, berjaya menewaskan penjaga gawang veteran, Gianluigi Buffon.

Ini adalah trofi pertama untuk Napoli sejak 2014 dan juga trofi sulung untuk Gattuso, yang mengambil alih tugas sebagai pengurus dari Carlo Ancelotti pada bulan Disember lalu.

Bagi bekas pemenang Piala Dunia Itali, Gattuso, kejayaan pertamanya sebagai jurulatih muncul setelah kematian kakaknya, Francesca, 37 tahun, akibat penyakit yang jarang berlaku.

Pasukan Napoli ketika meraikan dengan trofi kemenangan mereka di perlawanan akhir bola sepak Piala Itali (Coppa Italia) antara Napoli dan Juventus, semalam di stadium Olimpik di Rom. – AFP

“Dalam hidup, anda tidak dapat menerima beberapa perkara, tetapi bola sepak telah memberi saya banyak dan semangat yang tinggi,” kata bekas bintang AC Milan berusia 42 tahun itu.

“Saya rasa saya mempunyai tanggungjawab besar. Saya tahu saya tidak boleh menyerah dan tidak pernah melakukannya dalam karier saya.

“Saya melihat pasukan saya malam ini mahu menang, kami layak mendapatnya.

“Saya bangga dengan apa yang telah dilakukan oleh anak buah saya. Sekarang kita harus meneruskan semangat ini juga dalam perlawanan liga, untuk memulihkan kembali semangat.”

Napoli kembali bangkit di bawah kendalian Gattuso dan kini berada di tangga keenam dalam kedudukan liga ketika mereka menyasarkan tempat Liga Juara-Juara ketika Serie A kembali hujung minggu ini setelah tiga bulan ditangguhkan kerana COVID-19.

Tetapi kekalahan itu merupakan petanda yang membimbangkan untuk Juventus, Maurizio Sarri, yang juga tewas pada perlawanan akhir SuperCup Itali Disember lalu menentang Lazio.

Bekas jurulatih Napoli yang berusia 61 tahun itu juga mengejar trofi pertamanya di Itali dan kedua dalam kariernya setelah membawa Chelsea sebagai juara Liga Europa musim lalu.

“Ada kekecewaan untuk pemain, kelab, dan peminat,” kata Sarri. “Pada masa ini kami kurang cemerlang dan tanpa kecemerlangan itu, ia menjadi lebih sukar.” – AFP