Napoli kekal tanpa kalah, pimpin Serie A

MILAN, 21 SEPT – Napoli melonjak ke tangga teratas Serie A selepas meraih kemenangan 4-0 di Udinese semalam dan mengekalkan rekod tanpa kalah dalam kempen awal musim ini.

Jaringan Victor Osimhen, Amir Rrahmani, Kalidou Koulibaly dan Hirving Lozano membolehkan skuad Luciano Spalletti berpesta gol di Dacia Arena sekali gus meraih 12 mata penuh daripada empat perlawanan, dua mata mengatasi Inter Milan dan AC Milan yang menduduki tangga kedua dan ketiga.

Roma ketinggalan satu mata di belakang bersama Fiorentina dan Napoli pasukan tunggal menang kesemua perlawanan setakat ini dalam liga utama Itali.

Udinese yang tewas kali pertama musim ini menduduki tempat ketujuh, berkongsi mata dengan Lazio, Atalanta dan Bologna manakala Napoli memberi amaran awal untuk muncul pencabar gelaran liga.

“Ia tidak bermakna sama sekali. Kami tahu kami beraksi sangat baik di tempat yang sukar. Kami perlu terus bekerja keras dan konsisten. Tidak mudah mengatasi Udinese dan menang 4-0,” kata Insigne kepada DAZN.

Aksi Samir dari Udinese dan Victor Osimhen dari Napoli semasa perlawanan Serie A di Stadium Arena Dacia di Udine, Itali, semalam. – AP

“Jika kita melihat kedudukan sekarang, kita boleh jatuh dan kita tidak akan dapat meneruskan cara kita.”

Osimhen yang juga menjaringkan gol pada perlawanan pertengahan minggu lalu yang berakhir dengan seri 2-2 di Liga Europa menentang Leicester City, sekali lagi membuka jaringan pada minit ke-24 dengan jaringan pertamanya dalam kempen Serie A dari jarak dekat setelah Lorenzo Insigne melepasi penjaga gol Udinese, Marco Silvestri.

Fabian Ruiz menjaringkan gol kedua buat Napoli enam minit kemudian, hasil hantaran dari Insigne menerusi sepakan percuma.

Koulibaly yang menjaringkan gol kemenangan menentang Juventus pada perlawanan liga sebelum ini menjaringkan gol ketiga Napoli enam minit selepas rehat melalui hantaran Ruiz.

Lozano menjaringkan gol kemenangan selesa pada minit ke-84 dengan penyudah yang cantik selepas menerima hantaran dari Mario Rui.

Perlawanan seterusnya akan melihat Napoli bertemu menentang Sampdoria Khamis ini.

Juara Inter Milan akan melakukan perjalanan ke Florence Selasa ini untuk berdepan ujian sukar menentang Fiorentina yang telah meraih tiga kemenangan berturut-turut. – AFP