PARIS, 23 Ogos – Jaringan Jose Callejon membantu Napoli melangkah ke peringkat kumpulan Liga Juara-Juara, awal pagi tadi menyusuli langkah wakil Sepanyol Sevilla ketika Celtic hampir dimalukan di Kazakhstan sebelum meraih kemenangan.
Napoli yang menamatkan saingan Serie A Itali di tangga ketiga musim lalu jelas terlalu kuat buat Nice apabila menang 2-0 di Perancis menerusi gol Callejon dan Lorenzo Insigne untuk mara dengan agregat 4-0.
Disingkirkan penyandang juara Real Madrid di peringkat 16 terakhir musim lalu, skuad Maurizio Sarri mendahului permainan apabila hantaran rendah Marek Hamsik disempurnakan Callejon untuk mendahului pada minit ke-48.
Dries Mertens hampir menggandakan jaringan buat Napoli, namun percubaannya menggegar palang sebelum Insigne mengesahkan kemenangan seminit sebelum permainan berakhir.
“Napoli perlu bermain di Liga Juara-Juara setiap musim kerana kami sepatutnya berada di sini. Kami gembira dengan kempen kelayakan,” kata Insigne.
Nice yang baru-baru ini menandatangani bintang Belanda Wesley Sneijder jelas gagal mengekang kemaraan Napoli dalam kedua-dua perlawanan timbal balik dan terpaksa berpuas hati beraksi dalam Liga Europa.
Sevilla yang menjuarai Liga Europa selama tiga tahun berturut-turut sebelum tewas kepada Leicester City di peringkat 16 terakhir Liga Juara-Juara musim lalu hampir dikejutkan kelab Turki Istanbul Basaksehir sebelum mara.
Sevilla menang 2-1 pada aksi pertama di Turki, namun perlawanan di Sanchez Pizjuan awal pagi tadi berakhir seri 2-2 untuk kelab Sepanyol itu mara dengan agregat 4-3.
Selepas ketinggalan menerusi jaringan Eljero Elia, Sevilla bangkit untuk menyamakan kedudukan menerusi gol Sergio Escudero sebelum mendahului dengan jaringan Wissam Ben Yedder pada babak kedua.
Bagaimanapun, gol Edin Visca kembali menyamakan kedudukan buat Basaksehir sebelum Sevilla cemas apabila sepakan percuma Emre Belozoglu menggegar palang gol.
Sementara itu, Celtic mara dengan agregat 8-4 sekali pun tumbang 4-3 kepada Astana pada perlawanan timbal balik di Kazakhstan dengan skuad bimbingan Brendan Rodgers diselamatkan kemenangan besar 5-0 pada aksi pertama di Glasgow.
“Perasaan saya bercampur baur kerana kami tidak bertahan dengan baik,” kata Rodgers. – AFP