Napoli terus langkah kanan

ROM, 29 OKT – Napoli mencatat lima kemenangan daripada lima perlawanan di laman sendiri pada musim ini setelah berjaya menundukkan Bologna 3-0 semalam untuk kembali menduduki puncak Serie A.

Napoli gagal mempertahankan rekod 100 peratus pada hujung minggu lalu selepas terikat 0-0 dengan Roma apabila melakar lapan kemenangan berturut-turut namun pasukan kendalian Luciano Spalletti kembali mencatat kemenangan menentang Bologna.

Pemain kebangsaan Sepanyol, Fabian Ruiz berjaya menjaringkan gol pembukaan pada minit ke-18 menerusi sepakan kaki kiri yang berhasil memperdaya penjaga gol Bologna dari Poland, Lukasz Skorupski.

Napoli dihadiahkan sepakan penalti pada minit akhir babak pertama apabila pemain pertahanan Chile, Gary Medel disalahkan kerana menyentuh bola semasa perebutan bola dengan Victor Osimhen.

Ketua pasukan Napoli, Lorenzo Insigne menyempurnakan sepakan penalti dan sekali lagi mengalas tanggungjawab yang sama pada minit ke-62 apabila Osimhen dikasari.

“Saya terlepas beberapa sepakan, namun saya sentiasa bersedia untuk mengambil sepakan penalti,” Insigne memberitahu Sky Sport Italia.

“Saya tidak pernah berdepan masalah seperti ini. Hanya mereka yang membuat sepakan penalti yang mampu terlepas peluang. Tetapi hari ini saya sangat tenang.

“Satu-satunya perkara yang penting bagi saya ialah untuk menunjukkan respons kepada kemenangan Milan (1-0 ke atas Torino pada Selasa).”

Napoli, yang belum tewas dalam 16 perlawanan di laman sendiri sejak Januari, meraih 28 mata dan mendahului AC Milan dengan perbezaan gol. Pasukan juara bertahan Serie A musim lalu, Inter Milan menduduki tangga ketiga, tujuh mata mengejar pendahulu. – AFP

Reaksi Lorenzo Insigne meraikan gol ketika dia membantu pasukannya menewaskan Bologna, semalam. – AFP