Naqiu akui terkejut terima tawaran jadi hero

Perasaan berbelah bahagi menguasai diri penyanyi yang kini bergelar hero filem, Naqiu apabila Nabil Ahmad menawarkan membintangi filem pertama arahannya berjudul Mat Bond Malaya.

Juara program realiti, Gegar Vaganza (GV) musim keenam itu menerima lamaran pelawak dan pengacara popular itu ketika sedang bersiap sedia untuk konsert akhir GV6, dua tahun lalu.

Namun, bekas vokalis kumpulan Boboy itu akhirnya bersetuju apabila mendapat tahu maestro muzik yang juga ‘tok guru’, Datuk Ramli MS atau Tok Ram turut membintangi karya sulung terbitan syarikat produksi Nabil, KMN Production itu.

Naqiu berkata, dia agak terkejut apabila Nabil menawarkannya menjadi hero filem. “Saya masih ingat lagi. Waktu itu, saya sibuk bersiap dalam tandas untuk persediaan konsert akhir GV6 dan Nabil datang bertanyakan tawaran berlakon filem. Apa yang menariknya, Nabil melamar saya di hadapan Tok Ram.

“Mulanya, saya dalam dilema mahu terima atau sebaliknya. Saya segan ditawarkan berlakon filem depan Tok Ram. Saya beritahu tidak pernah berlakon filem, jadi tidak berani terus menerima tawarannya.

Naqiu menerima lamaran Nabil untuk membintangi filem arahannya ketika sedang bersiap sedia untuk konsert akhir GV6, dua tahun lalu. – Agensi

“Tetapi, apabila Nabil beritahu Tok Ram turut berlakon dalam filem Mat Bond Malaya, saya terus berubah fikiran. Dalam hati terdetik, jika Tok Ram boleh, kenapa saya tidak mahu mencuba dan mencabar diri?

“Bagaimanapun, saya minta Nabil mengajar selok-belok dalam lakonan. Saya tidak mahu penonton melihat saya sekadar pelakon, tetapi lakonan tidak meninggalkan impak. Besar harapan saya dapat memperoleh ilmu berguna menerusi filem Mat Bond Malaya,” katanya kepada media.

Bagaimanapun, Naqiu atau nama sebenarnya, Wan Naqiuddin Mohd Najib berkata, dia tidak sempat menghadiri kelas lakonan berikutan kesibukan dengan penggambaran filem, tahun lalu. Katanya, jiwanya terhadap dunia lakonan masih belum benar-benar bercambah pada masa itu.

Anak kelahiran Skudai, Johor itu berkata, Nabil sangat serius ketika bekerja, tahu apa yang diinginkan dan tidak suka melakukan kesilapan. Ini kerana sebelum penggambaran bermula, Nabil akan melakonkan sendiri setiap babak bersama jurukamera. Mengulas hero gandingannya, Elizabeth Tan atau Lizzy, Naqiu berkata, dia terkejut kerana menganggap gandingan dengan pelakon seksi itu seperti tidak sepadan.

Biarpun digandingkan, bapa kepada lima cahaya mata itu berkata, dia jarang mempunyai kesempatan untuk berbual dengan Lizzy.

Bercerita mengenai kerjaya nyanyi-an, Naqiu berkata, dia bersyukur rezekinya dipermudahkan biarpun sedang diuji dengan pandemik sehingga menyebabkan ramai penggiat seni hilang punca pendapatan. Bagaimanapun, katanya, dia hanya berkongsi apa yang dilakukannya selepas pelaksanaan Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN) berakhir.

Selain mengetengahkan Naqiu, Lizzy dan Tok Ram, filem Mat Bond Malaya turut membariskan nama besar seperti Datuk Yusof Haslam, Datuk Seri Alif Syukri, Mamat Khalid, Michael Ang, Ghaz Abu Bakar, Aziz M Osman, Didie Alias, Ning Baizura dan Syafiq Kyle sebagai penampilan khas. – Agensi