Penyanyi Naqiu meluahkan rasa terharu atas kesanggupan peminat berkongsi duit, semata-mata menghadiahkan telefon bimbit berjenama kepadanya.
Naqiu atau nama sebenarnya, Wan Naqiuddin Mohd Najib, 33, berkata hadiah diberikan selepas peminat mengetahui telefon bimbit miliknya rosak.
“Telefon bimbit saya rosak, baru-baru ini. Saya tak dapat mengemaskini akaun media sosial selama dua hari. Sebaik peminat mendapat tahu, mereka menghadiahkan saya telefon bimbit berjenama yang mahal.
“Hadiah diberikan ketika saya sedang berjalan bersama keluarga. Saya terkejut dengan tindakan peminat kerana saya merancang membeli telefon baharu.
“Saya dapat tahu ada seramai 89 peminat berkongsi duit, semata-mata mahu membelikan saya hadiah,” katanya kepada media.

Bekas vokalis kumpulan Boboy itu berkata, ini bukannya kali pertama berlaku kerana pernah menerima kejutan yang sama.
“Gitar yang dipetik hari ini juga adalah pemberian peminat. Saya merancang membeli gitar baharu, beberapa hari sebelumnya. Dua hari kemudian, saya dapat hadiah gitar daripada peminat. Mereka seperti boleh membaca pemikiran saya.
“Jujurnya bukan hadiah yang menjadi ukuran, tetapi saya bersyukur atas sokongan yang diberikan. Tidak semua selebriti dapat seperti apa yang saya peroleh. Bukan sahaja mendapat sokongan, tetapi mereka memahami saya,” katanya ketika ditemui pada sesi showcase Terima Kasih Bersama Naqiu dan Sham Visa, baru-baru ini.
Showcase berdurasi 90 minit itu adalah satu penghargaan daripada dua bekas peserta program Gegar Vaganza 6 itu kepada peminat mereka.
Pada konsert itu, Naqiu yang juga juara GV6 turut menyampaikan lagu yang pernah dinyanyikan sepanjang menyertai program realiti itu. – Agensi