SEPANG, 8 Mac – Atlet para, Muhammad Naquib Ilmi Jamaluddin mahu membuktikan kemampuannya melakar sejarah dalam penampilan pertamanya di Sukan Olimpik Khas Musim Panas Sedunia (SOWG 2019) edisi ke-15 pada 14 hingga 21 Mac ini di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Atlet berusia 17 tahun itu berkata sejak berlatih dengan jurulatih dari Kelab olahraga profesional kendalian bekas pelari 400 meter kebangsaan, Nordin Jadi dua bulan lepas, beliau dapat mencatatkan masa larian iaitu 11.00 saat berbanding 12.03s sebelum ini.
“Saya mahu mewakili negara dalam kejohanan yang lebih kompetitif. Apabila terpilih mewakili negara di SOWG kali ini, saya bersemangat untuk lebih serius dalam sukan olahraga dan yakin dapat membuat catatan masa lebih baik di sana.
“Bagi persiapan ke temasya ini, saya berlatih pada setiap petang dan sebelah pagi perlu ke sekolah… jurulatih daripada Kelab Nordin Jadi banyak membantu saya terutamanya dalam meningkatkan catatan masa larian saya,” katanya kepada Bernama selepas perjumpaan kontinjen bersama Pengerusi Sukan Olimpik Khas Malaysia Azida Daud dan Ahli Lembaga Pengarah Datuk Seri Raja Yong Sofia Sultan Azlan Shah di Hotel Sama-Sama di sini.
Atlet berasal dari Selayang itu berkata sasaran pingat emas yang diletakkan pada SOWG 2019 itu tidak memberikan tekanan kepadanya walaupun pertama kali menyertai temasya berprestij itu.
Timbalan ketua kontinjen, Zulkarnain Umar yakin Malaysia mempunyai peluang mengulangi pencapaian dua emas dan kali ini menerusinya dan Muhammad Haziq Rizal dalam acara ekuestrian (dressage B1).
Pada penampilan sulung di temasya edisi di Los Angeles, Amerika Syarikat, pada 2015, kontinjen negara membawa pulang dua pingat emas menerusi pasukan bola sepak lelaki lima sebelah dan boling pada temasya yang khusus untuk atlet yang mempunyai masalah intelektual.
Pada edisi di Abu Dhabi, Malaysia menghantar kontinjen yang terdiri daripada 29 atlet dan 15 pegawai dan menyertai acara golf, olahraga, akuatik, bocce, boling, ekusterian dan bola sepak wanita tujuh sebelah.
Kesemua atlet dan pegawai akan berlepas ke Abu Dhabi pada malam ini. – Bernama

































