NASA bangunkan 3 stesen angkasa

WASHINGTON, 3 DIS – Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Amerika Syarikat (NASA) telah menganugerahkan ratusan juta dolar kepada tiga syarikat untuk membangunkan stesen angkasa lepas komersial bagi menggantikan Stesen Angkasa Antarabangsa yang akan berhenti tugas kira-kira akhir dekad ini.

Blue Origin Jeff Bezos, syarikat aeroangkasa Nanoracks dan kontraktor pertahanan Northrop Grumman masing-masing memenangi kontrak AS$130 juta, AS$160 juta dan AS$125.6 juta bagi membangunkan pos orbit mereka.

Syarikat keempat, Axiom Space, sebelum ini dianugerahkan kontrak bernilai AS$140 juta.

Agensi angkasa lepas Amerika Syarikat (AS) semakin beralih kepada industri swasta bagi membangunkan perkakasan pernah dibuat sendiri untuk mengurangkan kos dan memberi tumpuan kepada matlamat bercita-cita tingginya, termasuk membina habitat di bulan dan bersiap sedia untuk misi anak kapal ke Marikh.

“Kami bekerjasama dengan syarikat AS untuk membangunkan destinasi angkasa lepas di mana orang ramai boleh melawat, tinggal dan bekerja, membolehkan NASA terus menempa laluan di angkasa untuk manfaat manusia sambil memupuk aktiviti komersial di angkasa lepas,” kata Ketua NASA, Bill Nelson dalam satu kenyataan. – AFP

Gambar serahan NASA menunjukkan angkasawan Tom Marshburn mengganti antena yang patah di luar Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa pada 2 Disember. Tiga stesen angkasa lepas komersial bakal dibina bagi menggantikan Stesen Angkasa Antarabangsa yang akan berhenti tugas akhir dekad ini. – AP