NASA gagal kumpul sampel batu Marikh

WASHINGTON, 8 OGOS – Kapal perayau NASA Perseverance menggerudi di permukaan Marikh namun gagal dalam percubaan awalnya untuk mengumpul sampel batu yang akan diambil oleh misi masa depan untuk dianalisis oleh ahli sains di Bumi.

Agensi angkasa lepas Amerika Syarikat (AS) menyiarkan gambar menunjukkan timbunan kecil dengan lubang di tengah bersebelahan kapal perayau – yang pertama digali di Planet Merah oleh robot.

Namun data yang dihantar ke Bumi oleh kapal itu selepas percubaan pertamanya untuk mengumpul sampel dan disimpannya dalam tiub menunjukkan tidak ada batu yang telah dikumpul.

“Sementara ia bukan kejayaan yang kami harapkan, risiko sentiasa timbul dengan penemuan baharu,” kata Thomas Zurbuchen, pentadbir untuk pengarah misi sains NASA, dalam satu kenyataan.

Penggalian lubang merupakan langkah pertama proses pengambilan sampel yang dijangka mengambil masa 11 hari, dengan tujuan mencari tanda-tanda kehidupan mikro yang mungkin terpelihara dalam deposit dasar tasik lama.

Misi itu berlepas dari Florida setahun lalu dan Perseverence, yang mempunyai saiz sebesar sebuah kereta, mendarat pada 18 Februari di Kawah Jezero. – AFP